Perak bangunkan projek WTE atasi masalah pelupusan sampah

Choo Kiong menjawab soalan berkaitan tapak pelupusan sampah ketika Sidang DUN Perak hari ini.
Choo Kiong menjawab soalan berkaitan tapak pelupusan sampah ketika Sidang DUN Perak hari ini.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) akan membangunkan projek pembinaan tapak pelupusan sampah baharu berkonsepkan sisa kepada tenaga (WTE) di Tapak Pelupusan Sampah Teluk Mengkudu, Segari di daerah Manjung.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal-Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak, Paul Yong Choo Kiong berkata, projek yang akan dilaksanakan oleh syarikat swasta itu mengguna pakai kaedah sistem penapaian Anaerobic Digester bagi penghasilan biogas untuk menjana tenaga elektrik.

Menurutnya, pembinaan itu sebagai alternatif bagi mengatasi tapak pelupusan sampah sedia ada yang hampir tamat jangka hayatnya.

"Kos pembinaan projek dan kos-kos lain yang berkaitan adalah ditanggung sepenuhnya oleh syarikat dan tiada sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan negeri.

"Pembukaan tapak sampah yang baru memerlukan kos yang sangat tinggi selain mendatangkan kesan pencemaran alam sekitar serius sekiranya tapak pelupusan tidak diselia dan diselenggara dengan kaedah yang betul," katanya ketika menjawab soalan lisan Sandrea Ng (PH-Teja) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Beliau berkata, keperluan untuk membuka tapak pelupusan sisa pepejal baharu dibuat kerana jumlah sisa pepejal yang dibuang setiap hari ke tapak pelupusan semakin bertambah.

Sementara itu, mengenai jangka hayat tapak pelupusan sampah di negeri ini, Choo Kiong berkata, kebanyakan tapak pelupusan sampah sedia ada mempunyai tempoh empat hingga 35 tahun di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan.

Katanya, jangka hayat tapak pelupusan sampah seluas 10 hektar di Matang, Taiping di bawah seliaan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) tamat pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, MPT telah memohon kerajaan Persekutuan pada 2016 untuk menutup selamat tapak sedia ada dan membina tapak pelupusan baharu bersebelahan, namun sehingga kini belum ada sebarang kelulusan peruntukan mengenainya.

Sementara itu, Choo Kiong berkata, bagi pusat pelupusan Teluk Cempedak, Pulau Pangkor seluas 2.02 hektar yang telah penuh digunakan, pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang melaksanakan kerja-kerja membaik pulih bagi pengoperasian semula loji insinerator dan pembinaan tapak pelupusan 'bottom ash' bagi pembuangan sisa pembakaran oleh loji dengan jangka hayat selama 10 tahun.

Katanya, kos bagi menyelenggara tapak pelupusan sampah pada 2018 adalah melebihi RM53 juta.