Perak bentang enakmen unggas atasi masalah lalat

SAARANI
SAARANI
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak akan membentangkan pindaan enakmen berkaitan unggas dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bagi menangani isu melibatkan ternakan ayam di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembentangan enakmen itu dijangka akan dibuat dalam persidangan DUN yang bermula 22 Mei depan.

Menurutnya, undang-undang itu penting bagi menangani isu seperti masalah lalat yang dihadapi sebahagian penduduk di negeri ini.

"Isu lalat ini bukan disebabkan ternakan ayam semata-mata sebaliknya disebabkan pengusaha tanaman kelapa sawit yang menggunakan tinja ayam sebagai baja. Walaupun baja kering, apabila buka guni hujan turun lalat akan menghurung.

"Jadi kita nak bentang enakmen unggas dalam Sidang DUN mengenai kaedah penternakan ayam dan buru puyuh di dalam persidangan kali ini," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai masalah lalat yang tular di media sosial sebelum ini.

Saarani berkata, masalah lalat itu bukan sepenuhnya berpunca daripada ladang ternakan ayam sebaliknya kerana arahan telah dikeluarkan kepada pengusaha untuk menukar sistem reban tertutup.

Katanya, penternakan yang dibuat secara tertutup tidak menyebabkan pencemaran dan kehadiran lalat sebaliknya tinja yang digunakan sebagai baja untuk ladang kelapa sawit menyebabkan masalah itu.