Projek pembinaan ancam keselamatan penduduk

Sebahagian penduduk mengadakan piket menggesa Ketua Menteri campur tangan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk di Taman Ayer Keroh Height di sini, pada Isnin.
Sebahagian penduduk mengadakan piket menggesa Ketua Menteri campur tangan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk di Taman Ayer Keroh Height di sini, pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Kira-kira 300 penduduk di Jalan Sri Raya empat dan tujuh Taman Ayer Keroh Height di sini, terus dihantui kebimbangan setelah projek pembinaan rumah kedai berdekatan kediaman mereka menimbulkan pelbagai isu termasuk ancaman tanah runtuh.

Penduduk Abdul Rashid Ailp, 52, berkata, mereka telah banyak bertoleransi dengan pihak pemaju sejak setahun projek itu bermula, namun malangnya pihak berkenaan tidak mementingkan kebajikan penduduk.

Menurutnya, sebelum ini juga pemaju berjanji untuk membina longkang bagi menggantikan longkang sedia ada namun longkang itu didakwa bukan sahaja tidak berkualiti malah mendatangkan masalah seperti air tersekat selain sampah sarap banyak terkumpul.

"Pemaju tak seharusnya beri alasan tidak masuk akal, walaupun kita tidak belajar tentang teknikal tapi melihat keadaan itu kita boleh tahu ia tak sepatutnya berlaku ditambah risiko tanah runtuh.

"Harap pihak berwajib ambil tindakan tegas terhadap pemaju, kami dah kecewa, dan tolak ansur tapi nampaknya keadaan semakin buruk," katanya.

Suri rumah Zainon Baba, 52, berkata, sebelum wujudnya projek pembinaan tersebut mereka hidup dalam suasana harmoni dan menghirup udara segar di kawasan persekitaran menghijau namun segalanya berubah sekelip mata.

Menurutnya, mereka terpaksa menyidai baju dalam rumah bagi mengelak debu berterbangan melekat pada pakaian.

"Dulu bangun tidur melihat pemandangan indah, tapi sekarang bangun tidur melihat projek pembinaan yang mengancam nyawa," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Ayer Keroh, Ismail Othman merayu supaya Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh campur tangan dalam masalah ini.

Menurutnya, sudah beberapa kali masalah ini dibangkitkan termasuk bertemu dengan wakil pemaju namun pihak berkenaan seolah-olah hanya lebih mementingkan keuntungan berbanding keselamatan penduduk.

"Bila cuaca hujan akan berlaku keretakan terutama di Jalan Sri Raya 4 dan 7 dan selama setahun ini telah menghantui serta mengancam nyawa penduduk berdekatan projek.

"Ketua Menteri tolonglah campur tangan agar kira-kira 60 buah rumah penduduk yang berisiko ini tidak terus dihimpit kerisauan," katanya.

Sinar Harian pada Jun tahun lalu pernah menyiarkan seramai 400 penduduk daripada 80 buah rumah di Jalan Sri Raya 4, Taman Muzaffar Shah di sini, hidup dalam kebimbangan selepas berlaku kejadian tanah runtuh berhampiran kediaman mereka.

Kejadian runtuh yang berlaku ketika hujan lebat itu didakwa berpunca daripada kerja-kerja pembangunan sepanjang 500 meter bagi pembinaan sebanyak 71 buah rumah kedai tiga tingkat.