Pengusaha ketum perlu fikir soal halal haram: Mukhriz

Laporan Sinar Harian 20 November lalu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada sidang media khas Pakatan Harapan (PH) di Senawang, Negeri Sembilan. - Foto ADZLAN SIDEK
A
A

JITRA - Soal halal haram perlu dititikberatkan pengusaha ketum di Kedah dalam membuat keputusan untuk memusnahkan tanaman itu dan beralih ke tanaman lain.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, walaupun tanaman ketum bukan tertakluk di bawah Akta Dadah Berbahaya namun di bawah Kanun Tanah Negara tindakan boleh diambil kepada pengusaha kerana melanggar syarat tanah pertanian.

"Ini bermaksud tanaman boleh diusahakan adalah tanaman yang mempunyai nilai komersial seperti kelapa sawit, padi, getah dan tanaman lain. Dalam kajian yang dijalankan memang kita mendapati hasil tanaman gantian ini tidak semewah seperti tanaman ketum.

"Tapi sekurang-kurangnya tanaman itu dilaksanakan secara halal dan tidak melanggar sebarang undang-undang," katanya ketika ditemui di majlis berkhatan beramai-ramai bersama Tok Mudim di Masjid Bani Hashim Hosba di sini hari ini.

Mukhriz (kanan) menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak yang menyertai program berkhatan beramai-ramai bersama Tok Mudim di Masjid Bani Hashim Hosba di sini hari ini.
Mukhriz (kanan) menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak yang menyertai program berkhatan beramai-ramai bersama Tok Mudim di Masjid Bani Hashim Hosba di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan Kedah juga mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pertanian Kedah mengenai tanaman gantian yang sesuai untuk diusahakan pengusaha ketum berkenaan.

Pada Rabu lalu, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah mengadakan sesi dialog bersama 52 pengusaha ketum di Kedah dan Perlis.

ARTIKEL BERKAITAN: AADK kenal pasti 138 hektar ladang ketum

Dalam sesi dialog yang turut disertai Pengarah Pertanian Kedah, Ramli Abdul Rahman, pengusaha diberi pencerahan tentang masa depan mereka setelah beralih kepada tanaman gantian.

Bagaimanapun, pengusaha ketum berharap kerajaan dapat memberi jaminan bahawa pendapatan mereka tidak akan terjejas sekiranya beralih kepada tanaman komersial yang lain.

Sementara itu, Mukhriz berharap Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak mengambil masa lama untuk membaik pulih runtuhan tanah di Jalan Sungai Ular di Kilometer 12 Jalan Kulim - Bandar Baharu baru-baru ini.

Katanya, jabatan berkenaan sudah mengambil tindakan pantas menghantar jentera untuk membaik pulih kawasan berkenaan sebaik sahaja kejadian berlaku.

"Pada masa sama saya faham biasanya kejadian seperti ini kita kena buat kajian sedikit bagi memastikan struktur tanah itu masih berada di tahap yang baik atau sebaliknya kerana kita tidak mahu ia berulang lagi.

"Dalam mesyuarat Exco dua hari lepas juga kita jadikan isu ini sebagai agenda utama. Soal kos membaik pulih saya tak pasti kerana ianya di bawah kerajaan Persekutuan," katanya.