DUN Perak kecoh perang mulut isu 'mencuri', 'bossku'

Ahmad Faizal Azumu
A
A

IPOH - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini kecoh seketika apabila berlaku perang mulut antara Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dengan wakil rakyat pembangkang berhubung isu 'mencuri' dan 'bosku'.

Pertikaian berlaku ketika Ahmad Faizal dalam penggulungan menyentuh kesukaran kerajaan Perak membangunkan kemudahan infrastruktur di kawasan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) kerana peruntukan datangnya daripada kerajaan Persekutuan.

Beliau menyokong celahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bahawa kebanyakan kes kelewatan pembangunan RPT disebabkan masalah peruntukan daripada kerajaan Persekutuan, sama seperti dihadapi pentadbiran terdahulu.

"Saya amat bersetuju dengan apa dikatakan Pangkor, memang benarlah masalah ini datang daripada kerajaan Persekutuan.

"Kalau kita menyokong orang yang mencuri duit rakyat, jadi duit untuk kita buat projek-projek seperti RPT ini tak dapat nak dijalankan.

"Menyokong seseorang pemimpin yang mencuri kemudian nak panggil bosku pula, itu (menunjukkan) kita tidak mementingkan rakyat," katanya.

Ucapan itu menyebabkan beberapa wakil rakyat pembangkang bangun mencelah meminta ADUN Chenderiang itu menarik balik perkataan dan tidak membuat kenyataan mendahului keputusan mahkamah.

Ahmad Faizal secara berseloroh kemudiannya menyifatkan betapa perkataan 'bosku' itu boleh mengundang perhatian pembangkang.

"Bila disebut pasal seseorang itu, bukan main menjerit semua orang, jangan sayang sangat, tak kan lah boleh bercakap (berhujah) tentang bajet (negeri) tetapi dalam bab curi duit kita dalam 1MDB hingga berbilion-bilion tidak boleh nampak, mungkin mata letak kat lutut," katanya.

Kenyataan menyebut 1MDB itu mengundang kemarahan pembangkang termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad yang menggesa menteri besar menunjukkan contoh yang baik dalam Sidang Dewan tanpa membuat rujukan kepada perkara yang sedang dalam pertimbangan mahkamah.

"Kalau saya jahatlah, kami semua 28 ADUN pembangkang boleh menyebut tentang Tronoh yang dalam pertuduhan mahkamah dan Kuala Kurau yang disiasat SPRM, tetapi kami buat keputusan tidak mahu kerana menghormati Dewan," katanya.

Ahmad Faizal seterusnya menarik semula perkataan mencuri dan membuat permohonan maaf akan tuduhan ke atas individu yang belum disabitkan di mahkamah.

"Yang dimaksudkan sebagai pencuri ini ramai rupanya, lihat kes-kes yang dibicarakan di mahkamah bukan 'bosku' seorang, tetapi ramai lagi," katanya.

Suasana kecoh yang berlarutan hampir 30 minit itu menyebabkan Ahmad Faizal menamatkan terus sesi penggulungannya sebelum sidang Dewan ditangguhkan bagi memberi laluan solat Jumaat.