Pengurus rugi RM23,000 rumah dipecah masuk

Tindak-tanduk suspek yang memecah rumah seorang pengurus di Jalan PJS9/18 Bandar Sunway di sini, kelmarin.
Tindak-tanduk suspek yang memecah rumah seorang pengurus di Jalan PJS9/18 Bandar Sunway di sini, kelmarin.
A
A
A

SUBANG JAYA - Seorang pengurus kerugian hampir RM23,000 apabila rumahnya di Jalan PJS9/18 Bandar Sunway di sini dipecah masuk sekumpulan penjenayah kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Amihizam Abdul Shukor berkata, kejadian disedari mangsa sebaik pulang ke rumah pada jam 4.40 petang.

Menurutnya, mangsa yang berusia 30-an itu memberitahu dia meninggalkan rumah dalam keadaan baik dan berkunci pada jam 1 tengah hari.

“Bagaimanapun, dia mendapati pintu depan rumah telah dirosakkan selepas pulang ke rumah.

“Keadaan rumah juga berselerak dan beberapa barangan berharga didapati hilang termasuk barang kemas, peralatan elektrik, telefon bimbit, kunci kereta dan sejumlah wang tunai yang kesemuanya dianggarkan berjumlah RM23,000,” katanya.

Amihizam berkata, tempat kejadian dan maklumat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) diperoleh dari rumah jiran mangsa telah diproses dan teliti dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, tindakan suspek ketika memecah masuk ke rumah mangsa dirakam CCTV dari rumah berhampiran.

Artikel Berkaitan:

Menerusi video berdurasi 4 minit 40 saat itu menunjukkan sebuah kereta berwarna hitam diletakkan di depan rumah mangsa.

Seorang daripada suspek dilihat menekan loceng beberapa kali sebelum rakannya membuka pintu pagar dan terus masuk ke dalam rumah.

Kesemua suspek dilihat melarikan diri menaiki kenderaan sama selepas seorang daripada jiran dirakam pulang dan memberhentikan kereta berhampiran rumah mangsa.