Hadi fahami prinsip, cara Tun M tadbir negara

Laporan muka hadapan Sinar Harian hari ini. Gammbar kanan: Syed Agil Syed Alsagoff
Laporan muka hadapan Sinar Harian hari ini. Gammbar kanan: Syed Agil Syed Alsagoff
A
A
A

SHAH ALAM - Penganalisis politik menyifatkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai memahami prinsip dan cara pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata, walaupun ia bukanlah satu isu bahawa Dr Mahathir mendapat sokongan Abdul Hadi sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), namun Abdul Hadi dilihat turut memahami Perdana Menteri khususnya dari konteks berhadapan dengan masalah pergolakan politik yang berlaku hari ini.

"Jadi saya bersetuju dengan kenyataan (Abdul) Hadi Awang yang menyatakan beliau menyokong kepimpinan Dr Mahathir walaupun dalam keadaan ada pihak-pihak yang mencurigai kepimpinan beliau.

"Ini tidak bermaksud bahawa (Abdul) Hadi Awang sebagai seorang pembangkang dia harus tidak bersetuju semua isu, itu tidak.

"Ini menunjukkan bahawa satu kematangan pemimpin parti pembangkang yang paling lama di negara kita," katanya dihubungi.

Beliau berkata, berpendirian secara bijaksana juga bermaksud tidak mahu menunding jari di atas sebarang kelemahan sehingga boleh menimbulkan keraguan terhadap Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia.

"Saya percaya bahawa kebanyakan daripada orang politik faham tentang dilema sedang dihadapi Dr Mahathir bukan mudah untuk mentadbir negara yang multi-nasional dan dari kerajaaan Barisan Nasional kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH)," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun M makin tua makin menjadi, kata Hadi

Artikel Berkaitan:

Dr Syed Agil merupakan penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata demikian bagi mengulas berhubung pujian Abdul Hadi terhadap Perdana Menteri dengan menyatakan Dr Mahathir 'makin tua makin menjadi".

Penganalisis politik itu juga turut menyifatkan usaha itu memerlukan lebih banyak cabaran, penelitian dan juga hala tuju baharu untuk membawa Malaysia ke arah negara maju dalam tempoh yang telah ditetapkan.

"Respons jujur, saya nampak bahawa kalau dulu permintaan fasa pertama, (Abdul) Hadi antara orang yang tidak bersetuju dengan pemilihan Tun M (Dr Mahathir).

"Tetapi selepas kita tengok Tun M (Dr Mahathir) telah berjaya mengotakan janji-janjinya hapus penyelewengan, rasuah dan sebagainya, kita nampak bahawa kenyataan Abdul Hadi itu telah menunjukkan satu yang positif.

"Dia (Abdul Hadi) melihat cabaran dihadapi (Dr Mahathir) adalah cabaran dihadapi seorang pemimpin politik terutama orang yang lama menjadi ahli politik dan dia meneliti dan mempunyai pengalaman luas dalam menguruskan politik Malaysia," katanya.

Dr Syed Agil melihat dan membuat penilaian bahawa Abdul Hadi melihat perkara itu sebagai satu perkara yang positif namun berharap kenyataan dikeluarkan Presiden Pas itu adalah satu kenyataan yang jujur.

"Maksudnya dari ketajaman pemikirannya, kebijaksanaannya, keupayaan untuk melawan tomahan-tomahan daripada yang mencari masalah dalam kepimpinan Tun M (Dr Mahathir)

"Saya percaya (Abdul) Hadi banyak merujuk kepada pendirian Tun M (Dr Mahathir) terhadap kepentingan orang Melayu dan Islam.

"Bagaimana Tun M (Dr Mahathir) sejak akhir-akhir ini banyak memberi penekanan kepada agenda Melayu dan juga Islam itu sendiri dalam pentadbirannya," katanya.