Tun M makin tua makin menjadi, kata Hadi

Abdul Hadi Awang
A
A

KUALA LUMPUR - Pas mengulangi pendirian menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam membawa kemajuan negara meskipun berlaku 'pergolakan' politik negara ketika ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut memberi jaminan kesemua 18 Ahli Parlimen dari parti itu bersatu hati untuk memberi undi percaya atau menyokong usul undi percaya jika ia dikemukakan di Parlimen.

Malah beliau turut mengakui silap menilai kemampuan Perdana Menteri itu apabila mendakwa Dr Mahathir lebih sesuai berkhidmat di Klinik 1Malaysia berbanding menyertai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“Pendirian kita supaya Dr Mahathir terus kekal sehingga habis penggal. Itu pendirian asas kita walaupun masa Pilihan Raya (Umum) lalu, saya pernah sebut beliau tolong jaga Klinik 1Malaysia tetapi nampaknya makin tua makin menjadi.

"Tua-tua kelapa, makin tua makin kemas untuk selamatkan negara. Orang lain belum tentu dia (Dr Mahathir) sudah tunjukkan bukti positif.

"Kita akan memberi undi percaya kepada Tun (Dr Mahathir),” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Abdul Hadi berkata demikian ketika ditanya pendirian parti itu berhubung pertemuan antara Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi dengan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di kediaman beliau sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Marang itu turut memuji kemampuan Perdana Menteri melakukan pelbagai transformasi bagi menyelamatkan negara.

Sebagai parti yang mempromosikan Budaya Politik Matang dan Sejahtera, Abdul Hadi mengakui tindakan itu ibarat perasaan cemburu antara satu sama lain.

“Saya rasa itu macam orang cemburu satu sama lain, itu terpulang parti lain. Kepercayaan sama sendiri itu penting. Masing-masing dapat menangani (masalah) parti berdasarkan apa yang ada dalam parti masing-masing,” katanya.