Abdul Hadi hanya memberi peringatan: Pas

Khairil Nizam
Khairil Nizam
A
A
A

SHAH ALAM - Pas kesal dengan kenyataan veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang yang meminta Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menafikan keterlibatan parti itu dalam mencetus peristiwa 13 Mei.

Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu seakan mempunyai agenda tersembunyi sedangkan Abdul Hadi tidak pernah menyebut dalam artikel terkini beliau.

"Tuan Guru dalam rencananya hanya menyebut sebagai peringatan iaitu Malaysia pernah mengalami peristiwa 13 Mei 1969 yang menjadi sejarah hitam dalam hubungan masyarakat majmuk.

"Maka peristiwa hitam itu jangan diulang sekali lagi dengan membawa agenda yang salah," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa.

Dalam pada itu beliau berkata, beberapa kenyataan dan ucapan pemimpin serta penyokong DAP jelas mempertikai kontrak sosial, memprovokasi umat Islam dan Melayu dalam ceramah umum mereka.

"Gaya percakapan dan tuduhan mereka umpama bermain 'play victim' dan mahu orang lain dilihat bersalah serta rasis atau ekstrem.

"Umpama gaya PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang beri propaganda dan minta nafi, ini permainan Kit Siang dan DAP. Malah rakyat tahu bertapa DAP dan pemimpinnya selalu menimbulkan kegusaran, ketegangan kaum dengan kenyataan yang amat anti kepada Melayu dan Islam.

"Justeru rakyat Malaysia harus terus berhati-hati dengan permainan Kit Siang dan DAP yang sebenarnya sedang membawa agenda mereka dalam pentadbiran negara demi kepentingan kumpulan mereka," katanya.