Akur dengan ujian ALLAH

Nizal menunjukkan keadaan kakinya yang tidak dapat diluruskan selepas menjalani pembedahan pada 2013 lalu.
A
A

HULU LANGAT - Seorang lelaki yang dulunya menjalani kehidupan normal terpaksa akur dengan dengan kehendak ilahi apabila kini hanya mampu terlantar selepas disahkan menghidap penyakit saraf sejak 2005.

Nizal Azli Zainuddin, 41, berkata, dia disahkan menghidap penyakit berkenaan selepas mendapatkan rawatan di Hospital Seremban akibat terjatuh di kawasan rumahnya ketika pulang dari tempat kerja.

Susulan itu, Nizal berkata, dia kemudiannya dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berikutan disyaki menghidap penyakit ketumbuhan pada tulang.

"Saya menjalani pembedahan pada waktu itu dan keadaan semakin baik selepas pembedahan walaupun belum pulih sepenuhnya.

"Kemudian saya terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2008 dan bermula dari situlah kaki saya tidak dapat dibengkokkan," katanya kepada Sinar Harian sewaktu Program Ziarah Agensi bersama Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini.

Walaupun kakinya masih sakit ketika itu, Nizal berkata, dia masih lagi mampu untuk berjalan bagi mencari sumber pendapatan harian.

Nizal berkata, dia berkahwin dengan isterinya, Noryanti Mohamad Yatim pada 2011 serta dikurniakan seorang cahaya mata, Nurul Ain Balqis, 7.

"Pada 2013, sakit saya kembali teruk selepas menjalani pembedahan menukar besi di kaki, malah saya juga terpaksa berhenti kerja kerana tak mampu lagi berjalan seperti biasa.

"Doktor kemudian maklumkan saya menghidap penyakit saraf dan bermula dari situlah, semua urusan keluarga diuruskan oleh isteri," katanya.

Dalam pada itu, Nizal berkata, dia pernah membuat permohonan bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), namun ditolak dengan alasan kecacatannya tidak mencapai tahap 60 peratus, namun bersyukur kerana menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan LZS.

"Isteri saya mengambil upah mengasuh dengan bayaran RM400 sebulan dan dengan sumbangan LZS serta JKM ini, pastinya sangat membantu kami sekeluarga.

"Saya amat berterima kasih kepada LZS kerana sudi membantu dengan menghulurkan sumbangan tersebut," katanya.