Solari puas hati walau pemain hanya mampu ledak dua gol

Penyerang import JDT, Bergson Da Silva (kanan), cuba diasak pertahanan Sri Pahang FC, pada Rabu - Foto FB Johor Southern Tigers
Penyerang import JDT, Bergson Da Silva (kanan), cuba diasak pertahanan Sri Pahang FC, pada Rabu - Foto FB Johor Southern Tigers
A
A
A

[DIKEMAS KINI] PENGENDALI skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari berpuas hati dengan aksi dipamerkan skuad kendaliannya itu biarpun sekadar menjaringkan dua gol ketika menumpaskan Sri Pahang FC 2-0, di Stadium Sultan Ibrahim pada Rabu.

Menurut Solari, dua gol berkenaan nyata sudah cukup memadai buat skuad Harimau Selatan itu meraih tiga mata berharga di laman sendiri ketika berdepan pasukan handalan seperti skuad Tok Gajah itu.

“Hari ini (Rabu) satu perlawanan yang sukar buat kita dan kita memang mengambil serius mengenainya minggu ini.

“Sememangnya kita menghormati pasukan lawan kita dan di situlah kita akan cuba beraksi dengan sebaik mungkin bagi mencatatkan kejayaan.

“Ia berhasil kali ini...saya gembira bila kita menjaringkan gol pada minit-minit terakhir separuh masa pertama bagi menutup kegagalan kita menyempurnakan deretan peluang yagn kita perolehi sebelum itu,” katanya.

Untuk rekod, gol sulung JDT dijaringkan penyerang import Bergson Da Silva masa kecederaan separuh masa pertama sementara Fernando Forestieri pula menyumbat gol kedua pada minit ke-74 bagi memastikan skuad Harimau Selatan itu mengukuhkan lagi cengkaman di persada Liga Super 36 mata hasil 12 kemenangan berturut-turut setakat ini.

Sementara itu, Solari mengakui skuad kendaliannya itu berdepan kesukaran menentang skuad Tok Gajah itu yang dibarisi ramai yang tinggi, terutamaya di benteng pertahanan.

Katanya, keadaan itu menyaksikan pihaknya mengubah corak permainan bagi menembusi benteng pertahanan lawan.

“Memang sukar apabila bermain dengan pasukan yang memiliki ramai pemain yang tinggi dan ia turut menyukarkan kita melakukan serangan atau menjaringkan gol menerusi set-pices seperti sebelum ini.

“Bagaimanapun, kami berjaya mengubah tempo permainan agar sentiasa pantas kerana agak sukar untuk melepasi benteng pertahanan lawan dengan pemain-pemain yang tinggi,” katanya.

Sri Pahang FC tewas kepada team terbaik – Fandi Ahmad

Sementara itu, pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad ketika mengulas kekalahan 0-2 skuad kendaliannya itu kepada JDT pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, pada Rabu berkata pasukannya kalah kepada team terbaik dalam Liga Super.

Menurut Fandi, kesebelasan anak didiknya telah berjaya memberikan aksi terbaik di sepanjang perlawanan berkenaan walaupun tanpa kehadiran beberapa pemain utama yang cedera ketika ini.

“Tahniah kepada JDT, dan tahniah juga kepada pemain kita yang bagi 100 peratus...matlamat kita adalah untuk ‘cover’ permainan mereka.

“Bagaimanapun, minit terakhir separuh masa pertama agak ‘killer’ untuk kita....gol itu menjatuhkan sedikit semangat.

“Tapi saya rasa bangga dengan pemain kita kerana walaupun beraksi tanpa pemain-pemain terbaik, mereka masih mampu memberikan tentangan sengit kepada JDT,” katanya.

Aksi malam tadi berlangsung sengit hinggakan JDT perlu menunggu hingga pada masa kecederaan babak pertama untuk membuka jaringan menerusi Bergson Da Silva sebelum Fernando Forestieri kemudiannya menambah derita pelawat dengan meledak gol kedua pada minit ke-74.

Kekalahan itu menyaksikan Sri Pahang FC berada pada kedudukan ketiga Liga Super ketika ini dengan 25 mata hasil tujuh kemenangan, seri empat kali dan tewas sekali daripada 12 perlawanan setakat ini.

Sementara itu Fandi berkata, sekiranya skuad Tok Gajah berjaya mengikat skuad Harimau Selatan itu terikat 0-0 pada babak pertama, pihaknya optimis keputusan perlawanan berkenaan pasti berbeza.

“Jika 0-0 mungkin keputusan akan berubah, tapi, apa yang kita nak adalah prestasi...kalau nak kata kita cover (pintu gol) dengan treler, tapi treler tu ‘bocor’ katanya.

“Selepas ini untuk next window kita pastinya akan cari dua atau tiga player di bahagian penyerang dan tengah,” katanya.