Transformasi Parlimen Simpang Renggam

Maszlee (duduk, tengah) bersama Mohd Syukri (duduk, tiga kiri) dan Ahli-Ahli Majlis MDSR.
Maszlee (duduk, tengah) bersama Mohd Syukri (duduk, tiga kiri) dan Ahli-Ahli Majlis MDSR.
A
A
A

SIMPANG RENGGAM – Pejabat Parlimen Simpang Renggam akan bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta dalam usaha untuk mentransformasikan Parlimen Simpang Renggam ini.

Ahli Parlimennya, Dr Maszlee Malik berkata, kerjasama ini bagi memastikan setiap perancangan dan pembangunan yang berlaku di dalam kawasan Simpang Renggam ini dapat berjalan secara teratur.

“Hari ini (semalam) saya melakukan lawatan rasmi ke Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) dan dalam pertemuan tersebut, saya secara peribadi gembira dengan perancangan yang akan dilakukan oleh MDSR pada tahun 2019 ini.

“Ini memberi petunjuk positif bahawa pada tahun-tahun mendatang ini akan menjanjikan keadaan yang lebih baik kepada rakyat di Simpang Renggam dan saya sebagai wakil rakyat sentiasa optimis untuk menjadikan ‘Simpang Renggam Sejahtera’,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata kepada pemberita semasa sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke MDSR, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Yang Dipertua MDSR, Mohd Syukri Abd Rahim dan Ahli-Ahli Majlis MDSR.

Menurutnya, segala perancangan atau pembangunan di Simpang Renggam juga akan diselaraskan bersama MDSR selain terdapat pihak yang ingin membantu menyelesaikan masalah-masalah yang berlaku dan membangunkan Simpang Renggam.

Sementara itu, Mohd Syukri dalam taklimatnya berkata, beliau mengalu-alukan cadangan-cadangan baharu daripada pelbagai pihak untuk memastikan misi dan semangat kerajaan baharu ini dapat dicapai dengan lebih baik berbanding sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT), MDSR memang mengutamakan pandangan rakyat dan disebabkan itu kita akan lakukan 12 sesi ‘townhall’ pada tahun ini dan pelbagai lagi program untuk mendekati rakyat.

“MDSR juga bukan PBT yang ‘cukup-cukup makan’ kerana hasil kita pada tahun lalu adalah sebanyak RM11 juta berbanding RM10 juta pada tahun 2017 dan pada tahun ini, kita menyasarkan peningkatan hasil sebanyak RM1 juta lagi,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini, terdapat 16,671 pegangan cukai harta di kawasan pentadbiran MDSR termasuk pegangan kawasan baharu dari Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) iaitu di Taman Sri Lambak bermula 1 Januari 2017.