KKMM ambil serius aduan masalah telekomunikasi

Eddin Syazlee Shith
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa memberi perhatian serius ke atas aduan masalah telekomunikasi yang diterima.

Timbalan Menterinya, Eddin Syazlee Shith berkata, pihaknya mengambil maklum masalah itu dan berusaha mengatasinya secepat mungkin agar ia tidak berlarutan.

“Kita tidak mengelak daripada melaksanakan tanggungjawab itu dan berdasarkan kepada maklumat kita ada persiapan melalui pendekatan dan inisiatif yang telah dibuat SKMM. Saya percaya ini antara fokus utama untuk kita menyelesaikan semua masalah yang timbul,” katanya ketika sesi jawab lisan di Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PH-Beluran) yang mahu kementerian menjelaskan sejauh mana semua rakyat Malaysia akan mendapat akses komunikasi tanpa mengira kepadatan penduduk dan kepentingan ekonomi.

Menjawab soalan asal Hasbi Habibollah (GPS-Limbang) mengenai masalah liputan rangkaian telefon di kawasannya, Eddin Syazlee berkata, kerajaan sentiasa memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur komunikasi di seluruh negara termasuk di Parlimen Limbang.

Menurutnya, di bawah inisiatif Peluasan Liputan Selular dan Jalur Lebar Mudah Alih, antara penambahbaikan yang telah dilaksana SKMM adalah melibatkan pembinaan menara komunikasi baharu dan penaiktarafan menara komunikasi sedia ada kepada perkhidmatan sehingga 4G.

Beliau berkata, secara amnya, liputan rangkaian di Limbang adalah memuaskan, namun mungkin terdapat gangguan dari semasa ke semasa disebabkan faktor luar kawalan pembekal perkhidmatan telekomunikasi.

“SKMM telah bekerjasama dengan pihak berkaitan di Sarawak bagi menangani masalah ini termasuk menjalankan pemantauan lanjut di kawasan Limbang,” kata Eddin Syazlee.

Katanya, sehingga kini sembilan menara komunikasi baharu telah siap dibina dan beroperasi di kawasan itu manakala dua menara komunikasi baharu sedang dalam peringkat pelaksanaan.

“Inisiatif ini merupakan tambahan 32 menara yang dibangunkan secara komersial oleh pemberi perkhidmatan di Parlimen Limbang. Di samping itu, 25 lokasi menara sedia ada di Parlimen Limbang telah dinaik taraf kepada perkhidmatan 3G/4G,” katanya. - Bernama