8.3 juta pelancong ke Bentong tahun lalu

Mohd Sharkar memaklumkan daerah Bentong mencatat rekod pelancongan paling tinggi berbanding daerah lain pada sidang DUN hari ini.
Mohd Sharkar memaklumkan daerah Bentong mencatat rekod pelancongan paling tinggi berbanding daerah lain pada sidang DUN hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 8.3 juta pelancong direkodkan mengunjungi daerah Bentong pada tahun lalu.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, data itu diperoleh berdasarkan rekod jumlah kedatangan pelancongan ke Pahang sekali gus menjadikan lokasi popular pilihan pengunjung.

Menurutnya, jumlah kedatangan kedua tertinggi adalah di Kuantan melibatkan seramai 2.4 juta pelancong manakala Cameron Highlands mencatatkan sekitar 1.4 juta pelancong seterusnya Maran (8,304 orang).

"Kehadiran pelancong paling tinggi di Bentong kerana adanya destinasi tanah tinggi popular iaitu Genting Highlands dan Bukit Tinggi.

"Malah lokasi di Janda Baik turut menjadi pilihan kerana mempunyai banyak resSiort berkonsepkan alam semula jadi," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Lee Ah Wong (BN-Cheka) mengenai jumlah dan daerah paling banyak menerima pelancong di Pahang pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang hari ini.

Mohd Sharkar berkata, data diperoleh itu melibatkan pelancongan yang bermalam sama ada di hotel atau inap desa.

Bagaimanapun, beliau percaya jumlah itu mungkin bertambah sekiranya mengambil kira pengunjung yang tidak menginap.

Artikel Berkaitan:

"Kalau ikutkan ada beberapa daerah di Pahang yang kerap terima pengunjung seperti ini (balik hari)... ini berlaku disebabkan kedudukan atau laluan masuk yang mudah.

"Sebagai contoh di Temerloh, setiap Ahad dapat dilihat ramai yang datang untuk ke Pekan Sehari terutamanya kumpulan motosikal berkuasa tinggi dan kereta menjadikan daerah itu sebagai persinggahan untuk makan ikan patin," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Sharkar berkata, kerajaan Pahang juga memperkenalkan kutipan cukai kerajaan tempatan bagi perkhidmatan penginapan seperti bilik atau katil bermula tahun hadapan.

Katanya, kadar cukai itu dikenakan kepada pelancong yang mengunjungi negeri ini sahaja.

"Pengenalan cukai bilik atau katil itu dilaksanakan bagi mengikuti langkah yang dibuatnya oleh kerajaan Melaka dan Pulau Pinang.

"Bagaimanapun kadar yang akan dikenakan masih dalam perbincangan," katanya.