‘Air mata pun dah tiada, saya cuma mahu tempat berteduh untuk anak cucu’

PEKAN – Perasaan berat untuk membuat persiapan raya sejak awal Ramadan lalu menjadi petanda bahawa rumah pusaka yang diduduki sejak kecil musnah dalam satu kebakaran di Kampung Pahang Tua di sini pada petang Sabtu.
Mangsa, Nor Haida Kadir, 48, mengakui langsung tiada keinginan untuk membuat persiapan tahun ini, berbeza dengan keterujaan yang selalu hadir pada Aidilfitri sebelum ini.
"Memang dari awal Ramadan saya macam tiada hati hendak buat persiapan raya, seolah-olah sudah tahu musibah akan menimpa.
"Baju raya atau barang dapur semua tak ada lagi, memang saya tak beli apa-apa kelengkapan pun tahun ini," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini pada Ahad.

Menceritakan semula kejadian tersebut, ibu kepada dua anak itu berkata, mereka sekeluarga dalam perjalanan ke Kampung Perlak untuk berbuka puasa di rumah ibunya sekitar jam 6.30 petang.
Ujarnya, selepas menerima panggilan kecemasan daripada jiran, dia segera berpatah balik, namun mendapati rumah jenis kayu dan batu berkeluasan 30x45 kaki persegi itu sudah marak dijilat api.
Menurutnya, semua harta benda tidak dapat diselamatkan kerana api marak dengan pantas sehingga menyebabkan struktur kediaman itu musnah sepenuhnya.

"Wang tunai RM6,000 dan tiga bentuk cincin memang hangus terus dan saya ada cari tak jumpa.
"Kereta dan lima buah motosikal pun habis semuanya dan banyak barang yang musnah sebab menantu pun baru berpindah ke sini," ceritanya lagi.
Nor Haida memberitahu, nasib keluarga itu bertambah sukar kerana kediaman tersebut merupakan satu-satunya premis mencari rezeki, sementara suaminya baru sahaja memulakan pekerjaan.
"Tahun ini saya memang tak berniaga sepanjang bulan puasa, jadi pendapatan itu memang tiada. Suami pula baru seminggu dapat kerja, tiba-tiba jadi macam ini," luahnya.
Nasib cucu masih kecil
Walaupun reda dengan ujian yang menimpa, Nor Haida mengakui kini buntu memikirkan nasib ahli keluarganya terutama cucu-cucu yang masih kecil.
"Sebenarnya saya sudah hadap benda macam ini sampai air mata pun sudah tiada.. tapi bila difikirkan saya kasihan pada anak dan cucu-cucu yang masih kecil kerana perlu tempat tinggal selesa.

"Saya tidak minta banyak, cuma harap dapat tempat berteduh dengan segera untuk mereka," jelasnya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin, mengesahkan kejadian itu dan menegaskan bahawa tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Beliau juga memaklumkan siasatan lanjut mengenai punca kebakaran sedang dijalankan oleh pihak forensik bomba.
Ringkasan AI
- Rumah pusaka Nor Haida Kadir musnah dalam kebakaran di Kampung Pahang Tua
- Tiada keinginan membuat persiapan raya tahun ini selepas musibah
- Semasa kejadian, Nor Haida dan keluarga sedang dalam perjalanan berbuka puasa
- Kehilangan wang tunai RM6,000 dan tiga bentuk cincin, serta kereta dan lima buah motosikal
- Kediaman tersebut adalah sumber pendapatan keluarga, suami baru sahaja mendapatkan pekerjaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

