Isu, masalah Muslim sejagat tumpuan Multaqa Ulama Asia Tenggara

Delegasi yang menghadiri Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 yang diadakan di MHCC KLIA bermula semalam. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A

SEPANG - Isu dan masalah yang membelenggu Muslim sejagat menjadi tumpuan utama dalam Multaqa Ulama Asia Tenggara.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr Muhamad Razak Idris berkata, perkara itu perlu disepakati untuk mencapai penyelesaian.

"Multaqa ini menjadi platform menghimpunkan para ulama, ilmuan, profesional dan pakar pelbagai bidang berkongsi permasalahan, sekali gus menyelesaikannya," katanya.

Menurutnya, isu kritikal yang dikenal pasti adalah kemakmuran dan keamanan Muslim di rantau ini.

"Keamanan dan kemakmuran meliputi isu pergolakan politik di sesetengah negara seperti Selatan Thailand, isu kemiskinan, ekonomi dan pendidikan," katanya.

Beliau berkata, perkara itu perlu disepakati agar setiap agenda dapat dirangkumkan dalam gerak kerja dakwah.

"Dalam Multaqa ini kita akan kenal pasti model-model terbaik untuk diangkat sebagai resolusi dan diserahkan kepada kerajaan masing-masing," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Multaqa ulama Asia Tenggara yang pertama kali dianjurkan oleh Yadim berlangsung selama dua hari di Movenpick Hotel and Convention Centre (MHCC) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Seramai 600 peserta termasuk 50 delegasi asing turut menghadirinya.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof akan menyampaikan ucaptama bertajuk Manhaj Rahmatan Lil Alamin Dalam Menyantuni Kepelbagaian Masyarakat Majmuk.

Yang Dipertua Yadim, Nik Omar Nik Ab Aziz menyampaikan ucapan pada mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bidang Kerjasama 6. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Yang Dipertua Yadim, Nik Omar Nik Ab Aziz menyampaikan ucapan pada mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bidang Kerjasama 6. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Resolusi turut akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Antara pembentang multaqa ialah Ketua Umum Dewan Da'wah Islamiah Indonesia, Drs H Mohammad Siddik; Felo Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Profesor Emeritus Tan Sr Dr Mohd Kamal Hassan; Rektor Universiti Fatoni, Thailand, Profesor Madya Dr Ismail Lutfi Japakiya; Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar dan Ahli Parlimen Port Dickson yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Pengasas Citra Insani, Wirianingsih berkata, penganjuran Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 diharap mampu mencari solusi terhadap beberapa masalah melibatkan umat Islam di rantau ini.

Menurutnya, selari dengan perubahan zaman, dakwah Islam juga berdepan dengan pelbagai cabaran dan kekangan.

"Besar harapan saya untuk melihat kesemua organisasi dan jemaah Islam di Asia Tenggara dapat saling berkongsi idea untuk kita selesaikan masalah-masalah melibatkan umat Islam.

"Jadikan majlis yang penuh bermakna sebagai medan untuk umat Islam membangunkan sinergi," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Ugama Islam Wilayah Pattani, Thailand, Makmun Daud, penganjuran multaqa kali ini diharap mencapai satu solusi atau cadangan untuk memperkasakan penggunaan tulisan Jawi.

Katanya, melalui cara itu usaha untuk menyuburkan dakwah dalam kalangan umat Islam khususnya di negara minoriti umat Islam dapat diperkukuhkan lagi.

"Sebagai contoh, kita di Thailand ketika ini perlu bersaing dengan bahasa rasmi Thailand dan atas sebab itu kita giat memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dan Jawi.

"Jadi sebab itu, dalam acara atau aktiviti melibatkan agama Islam kita gunakan bahasa Jawi supaya ia kekal subur dalam kalangan umat Islam tidak kira dari negara mana sekalipun," katanya.

Berkongsi pandangannya, wakil Jemaah Islamiah Ho Chi Minh City, Vietnam, Abd Rahman Ibrahim berkata, di Vietnam, semua agama dilarang untuk melakukan dakwah secara terbuka, walaupun ia dilihat sebagai cabaran besar khususnya bagi agama Islam yang minoriti, aktiviti keagamaan di masjid-masjid tetap berjalan seperti biasa.

Wakil MZ Quran Center, Singapura, Muhamad Zuhaili Sabudin pula berharap untuk melihat Yadim dapat memainkan peranan yang lebih aktif sebagai penggerak dakwah Di Asia Tenggara dan mengangkat Islam ke peringkat lebih tinggi.