PDRM tambah anggota di sempadan Sarawak-Indonesia

 Datuk Zamri Yahya
Datuk Zamri Yahya
A
A
A

KUCHING - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan untuk menambah bilangan anggota di sempadan Sarawak-Indonesia berikutan pemindahan ibu negara republik itu dari Jakarta ke Kalimantan.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, PDRM akan melihat aliran kawalan sempadan melibatkan orang yang keluar masuk sempadan di kedua-dua negara.

"Polis jangka akan ada peningkatan jumlah kemasukan ke negara ini dan fokus kita adalah aspek keselamatan serta (membendung) perkara yang tidak diingini seperti aktiviti penyeludupan.

“Kita akan lakukan langkah awalan dan cara untuk mengatasi perkara itu serta mungkin akan menambah kekuatan keanggotaan bagi proses pemeriksaan seperti memeriksa dokumen dan barangan sebelum masuk ke negara ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pesuruhjaya Polis Sarawak di sini hari ini.

Pada majlis itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Azman Yusof menyerahkan tugas kepada Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman Datuk Ramli Din.

Pelantikan Ramli sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak berkuat kuasa 2 Disember depan.

Sementara itu, Azman berkata, jenayah kekerasan didapati meningkat di Sarawak bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Oktober tahun ini kepada 713 kes berbanding 687 kes pada tempoh sama tahun lepas.

“Kategori kes jenayah yang meningkat adalah kes samun berkawan bersenjata api yang bertambah dua kes, bunuh (bertambah tiga kes), rogol (bertambah sembilan kes) dan kes samun tanpa senjata (bertambah 31 kes),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, keadaan jenayah di Sarawak secara umumnya terkawal iaitu sebanyak 4,834 kes Jenayah Indeks dilaporkan bermula 1 Jan hingga 31 Oktober 2019 berbanding 4,776 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

“Perbandingan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 59 kes bersamaan dengan 1.24 peratus,” katanya. - Bernama