200 keluarga di Tuaran terima bantuan bakul makanan

TUARAN - Seramai 200 keluarga di sekitar Kampung Kindu dan Kampung Tajau, di sini menerima sumbangan bakul makanan menerusi Misi Ziarah Kasih bagi membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan.
Pengerusi Pertubuhan Hardy Malaysia, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Shazwan Hardy Kusnondar berkata, inisiatif berkenaan bertujuan mendekati masyarakat selain menyantuni golongan memerlukan menerusi bantuan secara langsung.
Menurutnya, penyerahan sumbangan itu merupakan sebahagian daripada komitmen pihaknya dalam memperkukuh agenda kebajikan dan kemasyarakatan, khususnya dalam membantu keluarga yang berdepan kesulitan hidup.
“Pelaksanaan Misi Ziarah Kasih ini bukan sekadar menyampaikan bantuan berbentuk makanan, malah membawa mesej keprihatinan, kasih sayang dan solidariti terhadap masyarakat yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, kejayaan pelaksanaan program itu turut mendapat sokongan Timbalan Pengerusi Pertubuhan Hardy Malaysia, Mejar Bersekutu (PA) Mohd Shamsuri Jamaluddin yang membantu dalam aspek perancangan dan penyelarasan misi berkenaan.
Dalam pada itu, Shazwan merakamkan penghargaan kepada Yayasan Taqwa dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) atas sumbangan serta kerjasama yang diberikan bagi menjayakan program berkenaan.
Katanya, pihaknya akan terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang dan kedudukan.
“Semoga setiap bakul makanan yang disampaikan membawa sedikit kegembiraan kepada keluarga penerima dan menjadi tanda bahawa mereka tidak dilupakan.
“Kami mungkin tidak mampu mengubah keseluruhan kehidupan mereka, namun berharap sumbangan kecil ini dapat memberikan kelegaan serta menyuntik semangat untuk mereka terus menghadapi kehidupan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
