Sanggup tinggalkan gaji lumayan demi muzik tradisional

Rio dari Kampung Timbou menjadikan permainan alat muzik tradisional sebagai sumber rezeki sejak 2012. - Foto Bernama
Rio dari Kampung Timbou menjadikan permainan alat muzik tradisional sebagai sumber rezeki sejak 2012. - Foto Bernama
A
A
A

TAMPARULI - Minat yang mendalam terhadap alat muzik tradisional seperti sompoton sigi atau sompoton kembar, marimba, kulintangan dan gong, mendorong seorang pemuda dari Kampung Timbou dekat sini nekad berhenti kerja untuk bermain alat muzik tradisional secara sepenuh masa

Rio Ryem Sorioh, 46, sanggup mengetepikan gaji yang lumayan demi melestarikan serta mempertahankan muzik tradisional, sungguhpun diasedar pendapatan daripada bidang itu tidak menentu dan tiada jaminan masa.

Namun hasil ketekunan serta ketabahannya, Rio kini lega tindakannya berhenti kerja dari sebuah syarikat di Brunei Darussalam pada 1999 tidak sia-sia apabila sering menerima undangan membuat persembahan muzik tradisional di seluruh Sabah yang memberikannya pendapatan lumayan.

"Jika tiada jemputan bermain muzik tradisional, saya menjadikan jambatan gantung Tamparuli yang sering dikunjungi pelawat tempatan dan luar lokasi utama menunjukkan bakat dan meraih rezeki bermain alat muzik tradisional sejak beberapa bulan lalu,”

"Tidak perlu rasa malu melakukan sesuatu pekerjaan, asalkan usaha itu mendatangkan pendapatan halal untuk menyara keluarga," katanya yang berkelulusan dalam bidang pertanian dari Pusat Latihan Pertanian Damai, Kota Kinabalu kepada Bernama.

Selain alat muzik tradisional, Rio juga berbakat bermain muzik moden seperti gitar, keyboard dan dram serta boleh menyanyi secara solo.

"Saya bersyukur apabila permainan muzik tradisional, semakin mendapat perhatian serta diterima masyarakat di negeri ini, membolehkannya menerima banyak tempahan membuat persembahan pada majlis keramaian dan rasmi, dengan pendapatan lumayan," katanya.

Beliau berkata, sokongan isteri, Wolnie Palipi, 38, menjadi pembakar semangat untuk meneruskan bakat bermain muzik tradisional, walaupun berdepan pelbagai cabaran sewaktu mula-mula menceburi bidang itu.

Artikel Berkaitan:

"Saya kerap mendapat undangan membuat persembahan di Tuaran, Tamparuli, Kiulu, Tenghilan, Kudat, Kota Marudu, Inanam, Telupid, Menggatal dan Kota Kinabalu, dengan bayaran dikenakan RM450 hingga RM700 sekali jemputan," katanya.

Rio mewarisi bakat seni bapanya, Sorioh Galais, yang ketika hayatnya pakar membuat serta mencipta alat muzik tradisional bambu sebagai perangsang mempertahankan kewujudan alat muzik tradisional bambu seperti bungkau dan suling.

Sehubungan itu, beliau berharap peranan muzik tradisional dalam kehidupan masyarakat dapat dipertahankan, supaya tidak pupus ditelan zaman untuk diwarisi generasi akan datang. - Bernama