Kuasa membeli rakyat Malaysia setanding negara besar

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

DUNIA e-dagang telah mengubah corak kehidupan manusia di seluruh dunia.

Malaysia pun tidak terkecuali, malahan mengembang dengan menakjubkan. Ramai orang sudah memperoleh kekayaan sebagai usahawan atas talian.

Begitu juga bagi pengguna. Mereka tidak lagi begitu gemar pergi ke pusat membeli-belah, tetapi hanya duduk depan komputer dan memilih serta membeli produk melalui hujung jari.

Pendek kata, perniagaan dalam talian mendatangkan faedah kepada negara. Peniaga untung. Pengguna pun dapat membeli produk dengan cepat.

Berdasarkan perkembangan dunia e-dagang ketika ini meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara antara terkaya di dunia, rasanya tidak ada silapnya.

Negara kita bukanlah sebuah negara besar dan maju. Jumlah penduduk hanya lebih kurang 32 juta orang. Tetapi pada minggu lepas, rakyat Malaysia telah mencipta kejutan yang cukup luar biasa.

Mengikut laporan, sempena Festival Beli Belah Global 11.11 tahun ini, syarikat peneraju e-dagang dari China, Alibaba telah melakar rekod jualan baharu sebanyak 268.4 bilion renminbi (RM158.37 bilion) hanya dalam tempoh 24 jam.

Carta itu turut merekodkan Malaysia berada di tangga keenam negara paling banyak membeli produk dari China pada hari tarikh ‘double eleven’ itu.

Artikel Berkaitan:

Lima negara teratas adalah semua negara maju iaitu menduduki tangga pertama, Rusia, diikuti Hong Kong, Taiwan, Amerika Syarikat dan Australia.

Kita sudah semestinya sukar mempercayai bagaimana pengguna seluruh dunia boleh berbelanja sebanyak RM158.37 bilion dalam masa 24 jam. Lebih sukar mempercayai lagi ialah kuasa membeli oleh rakyat Malaysia setanding dengan negara-negara besar.

Namun itulah realitinya rakyat kita mempunyai banyak duit dan suka membeli secara online. Rekod itu turut membuktikan masa depan e-dagang di Malaysia menjanjikan ‘lubuk emas’ kepada mereka yang berminat untuk menceburinya.