X

Kindly register in order to view this article
!

Amah larikan barang kemas, wang tunai bernilai RM125,000

Amah yang dikatakan membawa lari barang kemas dan wang tunai milik ibu majikannya.
A
A

BUKIT MERTAJAM - [DIKEMASKINI] Seorang pembantu rumah warga Indonesia didakwa melarikan barang kemas dan wang tunai milik ibu majikannya bernilai RM125,000 dalam kejadian di sebuah rumah di Lorong Perda Timur 25, Bandar Perda di sini pagi tadi.

Kejadian berkenaan disedari kira-kira jam 9 pagi selepas lelaki berkenaan bersama ahli keluarganya yang lain pulang dari pasar dan mendapati pembantu rumah yang baharu diambil bekerja sejak tiga bulan lalu tiada di rumah.

Curiga dengan keadaan itu, lelaki berusia 33 tahun itu melakukan pemeriksaan di setiap bilik dan mendapati terdapat kesan umpil pada almari baju di bilik ibunya yang menyimpan barangan kemas dan wang tunai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner, Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, antara yang dilaporkan hilang dua utas rantai leher, tujuh gelang tangan, lima bentuk cincin, sepasang subang dan wang tunai berjumlah RM2,600.

Menurutnya, ketika kejadian, bapa mangsa yang menghidap penyakit angin ahmar serta anak saudaranya sedang tidur di rumah, namun mereka tidak menyedari perbuatan pembantu rumah itu.

"Pembantu rumah berusia 31 tahun itu masih lagi dalam tempoh percubaan bekerja di rumah berkenaan. Dia dipercayai membuang beg serta barangan dicuri melalui pintu belakang dan kemudian keluar dari rumah mengikut pintu depan.

"Jiran mangsa ada melihat pembantu rumah itu berlari keluar di depan rumah pada jam 8.50 pagi tetapi tidak mengesyaki apa-apa kerana tiada barang atau beg di tangannya semasa itu," katanya ketika dihubungi di sini.

Nik Ros Azhan berkata, barang kemas yang hilang itu tidak digunakan sejak 10 tahun lalu oleh ibunya dan disimpan di dalam sebuah beg tangan.

Katanya, polis kini sedang memburu suspek berkenaan yang dikenali sebagai Widya Wati dan kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus