Suspek langgar syarat POCA ditahan terlibat samun bersenjata

Sebilah pisau, surat pajak gadai dan kunci antara yang dirampas dari kedua-dua suspek.
Sebilah pisau, surat pajak gadai dan kunci antara yang dirampas dari kedua-dua suspek.
A
A
A

GEORGETOWN - Dua lelaki ditahan selepas disyaki menyamun seorang pengawal keselamatan warga asing di tepi jalan Persiaran Bayan Mutiara, Bayan Lepas Isnin lalu.

Kedua-dua suspek masing-masing dari Jelutong dan Gelugor itu ditahan sepasukan polis awal pagi tadi kira-kira jam 2.30 pagi di tepi Jalan Penaga di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, susulan penahanan suspek berusia 33 dan 37 tahun itu polis merampas sehelai resit pajak gadai, sebilah pisau, dua anak kunci kereta dan sebuah Proton Wira.

"Kedua-dua suspek mengakui terlibat dalam kes samun tersebut. Suspek pertama mempunyai 10 rekod kesalahan lampau yang kebanyakannya melibatkan dadah.

"Dia juga disyaki melanggar syarat Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) kerana melarikan diri dari pengawasan di Mukim Kupang, Baling, Kedah bermula 29 Ogos tahun lalu hingga 28 Ogos 2021. Suspek kedua pula mempunyai tiga rekod kesalahan lampau," katanya ketika dihubungi hari ini.

No Image Caption

Menurutnya, ketika kejadian pada jam 6.44 pagi 11 November lalu, mangsa berusia 33 tahun disamun dua lelaki yang menaiki sebuah Proton Wira.

"Mangsa sedang membuat rondaan menggunakan basikal di D Residence Bayan Lepas sebelum didatangi sebuah kereta yang berhenti di tepinya. Suspek telah menolak mangsa menggunakan pintu kereta. Salah seorang daripada mereka meletakkan parang di leher mangsa dan mengarahnya mengeluarkan semua barangan berharga.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa kemudiannya mengeluarkan telefon bimbit jenis Samsung J7 dan menyerahkan kepada suspek. Kedua-dua suspek bergegas meninggalkan mangsa selepas mengambil telefon bimbit berkenaan. Mangsa mengalami kerugian kira-kira RM700," katanya.

Soffian berkata, suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/387 Kanun Keseksaan kerana samun menggunakan senjata.