Permohonan jejantas hadapan Taman Rajawali masih kabur

Ibu bapa terpaksa berdepan risiko bahaya setiap kali melintas jalan utama untuk menghantar dan mengambil anak mereka ke sekolah.
Ibu bapa terpaksa berdepan risiko bahaya setiap kali melintas jalan utama untuk menghantar dan mengambil anak mereka ke sekolah.
A
A
A

BUKIT ROTAN – Lebih 600 penduduk di Taman Rajawali, di sini masih menantikan kemudahan jejantas untuk kenderaan ringan dan pejalan kaki sejak lebih 20 tahun.

Jejantas itu dilihat lebih perlu ketika ini apabila terdapat pelaksanaan projek pelebaran dan menaik taraf jalan utama di hadapan taman terbabit iaitu dari Assam Jawa ke Ijok.

Penduduk mendakwa, laluan bahu jalan yang rancak dinaiktarafkan itu dikhuatiri mengundang bahaya kepada anak penduduk yang terpaksa melalui jalan terbabit untuk ke sekolah.

Penduduk memohon kemudahan jejantas untuk keperluan murid sekolah dapat disegerakan.
Penduduk memohon kemudahan jejantas untuk keperluan murid sekolah dapat disegerakan.

Seorang penduduk, L Mohandas, 38, berkata, dia cukup bimbang dengan keselamatan anaknya yang baru sahaja memasuki pra sekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Kuala Selangor di hadapan taman terbabit.

“Memang risaulah fikirkan keselamatan anak dengan jalan tengah buat, bila nak melintas dengan pembahagi jalan jadi ruang bahu tu sempit. Bimbang kalau kenderaan berat macam treler lalu lalang. Pada waktu puncak, jalan sesak sebab kenderaan banyak dan laju pula tu.

“Kalau boleh, cepatkanlah projek tu dan bina jejantas. Sudah lama kami bangkitkan permohonan jejantas, dari zaman S Manikavasagam jadi penyelaras Pusat Khidmat Dun Bukit Melawati lagi,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang juga pekerja ladang, B Sevakumar, 45, berkata, dia masih trauma melintas jalan itu untuk menghantar tiga anaknya yang bersekolah di sekolah terbabit.

Artikel Berkaitan:

“Saya trauma nak lintas sebab pernah kemalangan di depan jalan sekolah ini masa nak bawa anak balik. Bayangkan masa tu kena langgar motosikal dan tiada kenderaan lain.

“Memang bahaya kalau anak nak balik waktu tengah hari sebab jalan ni sentiasa sibuk dengan lori besar. Laju pula tu, dengan habuk lagi sebab projek masih berjalan.

“Jika ada jejantas, kami lega sikit nak hantar anak ke sekolah dengan selamat. Sekurang-kurangnya mereka tak perlu nak hadap risiko bahaya setiap kali nak melintas jalan,” katanya.