Scammer terus cari mangsa!

No Image Caption
A
A
A

BERITA mengenai sindiket penipuan scammer sehingga menyebabkan mangsa kerugian ratusan ribu ringgit boleh dikatakan sering dilaporkan di dada akhbar mahupun televisyen.

Malah kebelakangan ini kes sedemikian dilihat semakin menjadi-jadi dengan melibatkan mangsa daripada pelbagai latar belakang.

Wanita dan warga emas mungkin dilihat sasaran mudah untuk diperdaya, namun tidak kurangnya ada dalam kalangan golongan profesional seperti doktor, akauntan, pensyarah, guru dan pengurus syarikat yang pernah menjadi mangsa penipuan sindiket terbabit.

Pelbagai modus operandi yang digunakan sindiket bagi memperdayakan mangsa supaya menyerahkan wang mereka dan kebanyakan kes dilaporkan melibatkan mangsa yang menerima panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali kononnya daripada pihak bank, polis ataupun pegawai mahkamah.

Selepas memperkenalkan diri dan membuat sedikit semakan, dimaklumkan pula mangsa terlibat dengan kes tertentu dan berdepan dengan tindakan undang-undang yang mungkin boleh menyebabkan mangsa dihumban ke dalam penjara.

Bagi meyakinkan mangsa, talian kemudiannya disambungkan kononnya kepada pegawai polis bagi memberi penerangan lanjut dan mencari jalan penyelesaian.

Ada juga mangsa yang diberitahu kononnya akaun bank mereka akan dibekukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan mereka perlu membuat pemindahan wang ke dalam akaun yang diberikan sementara menunggu siasatan dilakukan pihak berkuasa.

Kebiasaan sindiket itu akan memaklumkan yang mangsa terlibat dengan kesalahan jenayah seperti kes kemalangan langgar lari, terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah, pengubahan wang haram dan banyak lagi.

Artikel Berkaitan:

Dengan nada percakapan yang teratur dan meyakinkan membuatkan mangsa mudah terpengaruh dan takut dengan panggilan yang diterima sehingga menyebabkan mereka menuruti segala arahan diberikan termasuk memindahkan wang dan memberikan kod pengesahan transaksi (TAC).Ghaib

Akibatnya, wang simpanan yang ditabung sekian lama ghaib begitu sahaja, malah ada juga mangsa yang sanggup mengeluarkan wang pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan simpanan akaun Tabung Haji kerana mahu dipindahkan ke dalam akaun diberikan kononnya selamat daripada sebarang tindakan oleh BNM.

Kesudahannya, wang itu akan lenyap begitu sahaja. Nombor telefon pegawai polis yang menjadi pemudah cara sebelum ini gagal dihubungi dan mangsa hanya akan dibebani dengan rasa penyesalan yang tidak berguna lagi disebabkan terlalu mempercayai individu yang tidak dikenali.

Begitu mudah mangsa diperdaya dengan cerita rekaan yang dibuat melalui panggilan telefon sahaja ditambah lagi dengan momokan tindakan undang-undang yang akan dikenakan menyebabkan mangsa seperti hilang arah dan percaya bulat-bulat dengan apa yang dimaklumkan tanpa sebarang usul periksa dan semakkan lanjut dengan pihak lain.

Walaupun kes membabitkan scammer bukanlah perkara baharu di negara ini, namun setiap hari masih ada lagi mangsa yang terpedaya seolah-olah kejadian yang dilaporkan sebelum ini tidak memberi sebarang pengajaran.

Persoalannya, mengapa mangsa terlalu mudah termakan dengan perkara yang tidak tahu kesahihannya tambahan pula daripada individu yang tidak dikenali? Kalau tidak terlibat dengan kegiatan jenayah seperti yang dikatakan, kenapa perlu tunduk dan akur dengan semua arahan mereka?

Orang ramai seharusnya tidak mudah panik apabila menerima panggilan telefon mengatakan mereka terbabit dengan mana-mana kes.

Sekiranya betul mereka terbabit dengan kes yang disebutkan, pasti polis atau mahkamah akan mengeluarkan surat atau notis dan bukan sewenang-wenangnya menelefon dan meminta memindahkan wang ke dalam akaun tidak dikenali.

Orang ramai perlu tegas jika menerima panggilan telefon yang mencurigakan meminta butiran peribadi termasuk nombor akaun.

Sindiket penipuan itu mungkin mempunyai berpuluh atau beratus helah bagi memperdaya mangsanya.

Bagi mengelak kita daripada menjadi mangsa seterusnya, kita seharusnya menyiasat terlebih dulu tuduhan atau dakwaan yang dilemparkan sama ada menerusi panggilan, mesej ataupun e-mel yang diterima.

* Mohd Iskandar Othman ialah wartawan Sinar Harian Edisi Pulau Pinang