Polis tumpaskan sindiket penipuan dalam talian

Hussein
Hussein
A
A
A

SHAH ALAM - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan secara dalam talian hasil serbuan ke atas sebuah premis yang digunakan sebagai pusat panggilan di Taman Semanja, Kajang semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam operasi khas oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu, seramai 16 ahli sindiket warga tempatan termasuk enam wanita, berumur lingkungan 15 hingga 37 tahun ditahan.

Katanya, polis turut merampas peralatan yang digunakan untuk aktiviti jenayah itu termasuk lapan unit komputer riba, 43 telefon bimbit, dua unit ‘router’ Internet dan sebuah buku nota.

"Siasatan mendapati sindiket itu telah beroperasi di premis tersebut lebih kurang dua bulan dan jumlah kerugian mangsa sindiket ini masih dalam siasatan dan belum dapat dipastikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, ahli sindiket yang ditangkap adalah pekerja di pusat panggilan tersebut yang menggunakan media sosial dan rangkaian internet bagi mencari mangsa dengan menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan pendingin hawa, mesin basuh, kusyen kereta dan pembantu rumah yang tidak wujud menerusi Facebook.

"Mangsa yang berminat dengan perkhidmatan ditawarkan akan diminta untuk memuat turun Android Package Kit (APK) daripada pautan http://getsservice3vmi8z62.top/untuk tujuan tempahan perkhidmatan dengan membayar wang deposit,” katanya.

Hussein berkata, apabila mangsa mengisi butiran peribadi serta maklumat perbankan untuk tujuan membuat bayaran deposit melalui pautan tersebut, mangsa sebenarnya telah mendedahkan maklumat peribadi dan perbankan kepada pihak sindiket yang menggunakan kaedah ‘phishing’.

"Setelah mendapat maklumat peribadi dan perbankan mangsa, pihak sindiket akan memindahkan wang daripada akaun bank mangsa ke akaun bank yang dikawal oleh sindiket tanpa disedari oleh mangsa.

"Mangsa hanya menyedari telah ditipu apabila mendapati baki wang di dalam akaun bank mereka berkurang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dalam memuat naik apa-apa pautan yang diperoleh daripada iklan di media sosial atau pihak tidak dikenali. - Bernama