Jana puluhan ribu ringgit jual keropok ikan

Jarak 200km dari laut tidak halang pasangan suami isteri dari Rancangan Kemajuan TanahJeram Tekoh, Gua Musang untuk bergelar pengusaha keropok ikan berjaya.
Jarak 200km dari laut tidak halang pasangan suami isteri dari Rancangan Kemajuan TanahJeram Tekoh, Gua Musang untuk bergelar pengusaha keropok ikan berjaya.
A
A
A

GUA MUSANG - Jarak 200 kilometer (km) dari laut bukan penghalang pasangan suami isteri dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Jeram Tekoh di sini untuk bergelar pengusaha keropok ikan berjaya.

Meskipun perusahaan mereka terletak di pedalaman, anak peneroka ini mampu menjual 100 kilogram (kg) keropok setiap hari walaupun kedai mereka jauh dari pantai sebagaimana lazimnya.

Mohd Subky Abd Razak, 38, dan isteri, Noreshazahana Zanudin, 37, tidak pernah menyangka percubaan mereka untuk mencari rezeki dengan menjual keropok ikan mampu menjana pendapatan mencecah puluhan ribu ringgit setiap bulan.

"Berulang alik dari Tumpat ke Gua Musang untuk mendapatkan bekalan ikan sudah menjadi rutin buat kami.

"Bahan mentah itu kemudian akan diproses menjadi keropok keping berperisa dengan menggunakan resipi khas kami sendiri," katanya.

Menurut Mohd Subky, lebih mengujakan lagi air tangannya dan isteri itu berjaya memberi peluang pekerjaan kepada lebih 20 ejen untuk meraih pendapatan.

Ujarnya, kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan menjadi rahsia kejayaan meskipun berada di pedalaman.

Dia memberitahu, perniagaan yang dijalankan sejak lima tahun lalu itu pernah diuji ketika baharu setahun diusahakan.

"Tidak sampai beberapa bulan bertapak, kita semua berdepan dengan wabak Covid-19. Pada awalnya kami hampir berputus asa dan terfikir akan menamatkan perniagaan disebabkan arahan perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Namun sebaliknya berlaku apabila permintaan dalam kalangan pelanggan pada waktu itu diluar jangkaan sehingga jualan kami melonjak dan dikenali ramai," katanya.

Ujar Mohd Subky, melihat kepada sambutan yang diterima, dia dan isteri berhasrat memiliki sebuah kilang untuk pembuatan keropok bagi memperluaskan lagi perniagaan.

"Selain berjaya dipasarkan di seluruh negara, saya berharap keropok dihasilkan akan mendapat tempat di hati negara-negara jiran," katanya.