[VIDEO] Ahli perniagaan didakwa ceroboh Gunung Inas

Tertuduh (depan) dibawa keluar setelah didakwa di Mahkamah Sesyen Kulim pagi tadi.
Tertuduh (depan) dibawa keluar setelah didakwa di Mahkamah Sesyen Kulim pagi tadi.
A
A
A

KULIM - [KEMASKINI] Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Kulim hari ini atas pertuduhan menceroboh dan meneroka sebahagian kompartmen Hutan Simpan Gunung Inas bulan lalu.

Tertuduh, Mohamad Razman Shariff, 43, didakwa melakukan perbuatan itu di Kompartmen 19 pada 19 September lalu kira-kira jam 4 petang atas tiga pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mendirikan banglo, binaan batu-bata, kandang burung unta, bangsal rusa dan sangkar landak serta menanam pokok buahan di kawasan hutan simpan berkenaan.

Selain itu, dia juga didakwa memelihara 36 ekor rusa, tiga ekor burung unta dan tujuh ekor landak dalam Hutan Simpan Gunung Inas tanpa permit sah.

Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didapati telah menebang sebanyak 111 batang pokok di lokasi sama tanpa kebenaran.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didapati melepaskan ternakan iaitu empat ekor kuda yang dibiarkan bergerak secara bebas di kawasan terbabit.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 32 (1), Subseksyen 81 (1) (b) dan Subseksyen 81 (1) (a) Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] yang telah diterima pakai oleh Negeri Kedah bawah Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1985.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi pertuduhan pertama dan kedua manakala bagi kesalahan ketiga denda tidak lebih RM10,000.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Fazilah Mansor dan Mason Jaro Lenya Barayan.

Peguam tertuduh, Johan Jaaffar memohon wang jaminan dikurangkan kepada RM10,000 atas alasan dia masih mempunyai tanggungan keluarga selain berjanji memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah setiap kali tarikh perbicaraan.

Hakim Musyiri Peet membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dan menetapkan 17 Disember depan sebagai sebutan semula kes.