UEC: Rakyat perlu faham pendirian kerajaan

Datuk Zainal Abidin Borhan
Datuk Zainal Abidin Borhan
A
A
A

SHAH ALAM - Pendirian kerajaan dalam isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) supaya mengambil kira sensitiviti kaum perlu difahami semua rakyat yang menjadi warganegara.

Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, pendirian tegas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perkara itu perlu disokong apatah lagi oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang selama ini mahu kerajaan menolak pengiktirafan sijil berkenaan.

Selain itu, katanya, masyarakat Cina juga perlu akur dan menghormati pandangan Dr Mahathir tentang UEC demi kestabilan negara.

"Pengiktirafan UEC akan mewujudkan kebimbangan orang Melayu kerana negara ini telah mempunyai sistem pendidikan yang telah pun mantap," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rabu lalu, akhbar Cina menyiarkan laporan wawancara bersama Dr Mahathir bertajuk 'Tun Mahathir: Pengiktirafan UEC perlu pertimbangkan perasaan orang Melayu'.

Zainal Abidin berkata, UEC bukan isu perkauman, sebaliknya ia melibatkan soal pendidikan di negara ini.

"Di Malaysia, masyarakat pelbagai kaum diakui melalui kewujudan sekolah yang berdasarkan kaum dan mata pelajaran mengikut kaum.

"Kenyataan Tun M bahawa di negara lain, tidak dibenarkan wujud sekolah Cina walaupun di papan tanda, merupakan kenyataan yang jelas untuk difahami rakyat di negara ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Gapena berharap semua kaum di negara ini memahami dan mengaplikasi perlembagaan negara dalam kehidupan sebagai warganegara Malaysia.

"Gapena menyokong Tun M dalam isu UEC dan akan bersama-sama Perdana Menteri dalam memperjelas asas penolakan UEC," katanya.

Isu UEC sebelum ini menjadi pertikaian dan dibantah ramai pihak termasuk Gerakan Pembela Ummah (Ummah) selepas kenyataan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik untuk mengiktiraf sistem pendidikan itu.

Susulan itu, Maszlee mengumumkan penubuhan jawatankuasa bagi mengkaji dan mengumpul fakta berhubung isu UEC dari pemegang taruh secara menyeluruh.

Laporan penuh kajian itu dijangka akan dibentangkan dalam sesi Dewan Rakyat tahun ini.