Pemimpin DAP prejudis terhadap penjawat awam, kata Asyraf Wajdi

Hantaran di laman FB beliau hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) didakwa prejudis terhadap penjawat awam dan matlamat mereka untuk mengurangkan jumlah kakitangan awam sebagaimana yang sering diuar-uarkan pemimpin DAP.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau tidak mengetahui sebab Menteri Kewangan, Lim Guan Eng begitu memusuhi dan prejudis terhadap penjawat awam.

“Saya tidak faham kenapa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng begitu memusuhi dan amat prejudis terhadap penjawat awam. Dalam ceramah beliau semalam, Guan Eng masih meneruskan serangan sinisnya terhadap 1.6 juta kakitangan awam yang hakikatnya enjin terpenting menggerakkan pentadbiran kerajaan di semua peringkat selama ini.

“Sudahlah sejak kerajaan PH ambil alih mereka menafikan hak penjawat awam untuk menerima dua kenaikan gaji melalui Pergerakan Gaji Tahunan biasa dan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) Khas seperti yang dijanjikan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) atas alasan kekurangan peruntukan yang besar untuk membiayai kenaikan gaji ini,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini sebagai maklum balas kepada ucapan Menteri Kewangan, Guan Eng dalam kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Menurutnya, lebih mendukacitakan apabila pimpinan PH berkali-kali menyatakan bahawa bilangan penjawat awam terlalu besar dan perlu dikecilkan seperti kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir bahawa pertambahan seramai 700,000 kepada 1.7 juta orang sejak beliau melepaskan jawatan Perdana Menteri pada 2003.

“Tony Pua pula pernah menggelarkan penjawat awam sebagai ‘biawak hidup’ kerana bilangan yang besar dan menelan belanja sehingga 36 peratus dari keseluruhan Belanjawan 2017.

“Kerajaan PH juga berhasrat ingin mengecilkan saiz penjawat awam melalui surat edaran Jabatan Perkhidmatan Awam bertajuk ‘Kawalan Saiz Perkhidmatan Awam’ bertarikh 26 Disember 2018 yang menjelaskan bahawa kerajaan PH akan menjalankan langkah rasionalisasi penjawat awam dengan mengurangkan kakitangan sebanyak satu peratus dari 1.7 juta penjawat awam atau 17,000 jawatan pada tahun ini, 2019.

“Sebanyak dua peratus atau 34,000 lagi pada tahun 2020 dan 51,000 lagi atau tiga peratus pada 2021,” katanya.

Jelas beliau, ia bakal meningkatkan beban kerja penjawat awam sedia ada malah boleh menjejaskan keseimbangan antara kehidupan dan kerjaya.