Johor sedia jadi orang tengah rundingan Perjanjian Air 1962

Dr Sahruddin Jamal
Dr Sahruddin Jamal
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor bersedia menjadi 'orang tengah' antara kerajaan Malaysia dan Singapura bagi rundingan Perjanjian Air 1962.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, kerajaan negeri boleh membantu memandangkan hubungan baik antara Johor dan Singapura serta berharap agar isu ini dapat diselesaikan dengan baik dan berhemah.

“Saya dapat makluman menerusi kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar mengenai Malaysia ada hak untuk menyemak harga air.

“Saya memandang ini satu langkah positif untuk negeri Johor, di mana kita harap perjanjian ini dapat membantu Johor.

"Apabila harga air naik, hasil Johor juga akan naik,” kata beliau kepada pemberita selepas sesi temu bual khas mengenai Belanjawan Negeri 2020 bersama RTM di Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Iskandar, dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Xavier hari ini yang berkata bahawa dakwaan Singapura kononnya Malaysia hilang hak untuk menyemak semula harga penjualan air mentah itu adalah tidak tepat.

Ketika ditanya mengenai harga air yang dilihat berpatutan, Dr Sahruddin menyifatkan harga air dalam perjanjian itu terlalu murah.

“Apapun harganya, yang penting mendapat persetujuan dari Singapura dan kita (Malaysia). Kita harap kita dapat harga yang terbaik,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Xavier terdahulu dilaporkan sebagai berkata, dakwaan Singapura mengenai Malaysia kehilangan hak untuk berunding harga air di bawah perjanjian itu, setelah tidak membuat semakan harga air pada tahun 1982 dan 2012, adalah tidak tepat.

Sebaliknya, jelas Xavier, Jabatan Peguam Negara telah mengesahkan Malaysia masih mempunyai hak berbuat demikian setiap tahun selepas 25 tahun dari tarikh Perjanjian 1962 itu ditandatangani.

Pada awal April lalu, Malaysia dan Singapura telah bersetuju untuk mencari penyelesaian secara damai berhubung perjanjian air termasuk kemungkinan menyelesaikan pertikaian menerusi timbang tara atas dasar persetujuan bersama.

Melalui Perjanjian Air 1962, Singapura boleh mengeluarkan 250 juta gelen sehari (mgd) air mentah dari Sungai Johor pada kadar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen, manakala Johor kemudiannya membeli semula air terawat dari republik itu pada kadar 50 sen bagi setiap gelen. - Bernama