Mukhriz beri amaran kepada pengusaha ladang ketum

Mukhriz (kanan) ketika gimik pelancaran program latihan industri 4.0 Malaysian German Chamber of Commerce (MGCC) di Wisma Darul Aman hari ini.
Mukhriz (kanan) ketika gimik pelancaran program latihan industri 4.0 Malaysian German Chamber of Commerce (MGCC) di Wisma Darul Aman hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir memberi kata dua kepada pengusaha ladang ketum di negeri ini sama ada memusnahkan ladang terbabit atau berdepan tindakan tegas termasuk tanah yang diusahakan ladang ketum tersebut dirampas.

Beliau berkata, ia selari dengan seksyen dalam Kanun Tanah Negara yang memperuntukkan bahawa kerajaan Kedah boleh merampas tanah yang melanggar syarat seperti tanah sawah yang dijadikan ladang ketum.

“Kita berusaha mengambil tindakan mengikut perundangan sedia ada kerana ketum masih dikategorikan bawah Akta Racun 1952. Tindakan boleh diambil bawah Kanun Tanah Negara bagi kesalahan melanggar syarat tanah pertanian yang diluluskan untuk tanaman komersil bukan kegunaan sendiri,” katanya pada sidang media selepas pelancaran program latihan industri 4.0 Malaysian German Chamber of Commerce (MGCC) di Wisma Darul Aman hari ini.

Mukhriz berkata, sebelum ini pihaknya sudah berulang kali memberi amaran namun masih ada yang ingkar malah berani mengusahakan ladang ketum secara berskala besar.

“Sasaran kita untuk kesan dan musnahkan ladang ketum. Ada yang tanam sehingga 80 hektar. Saya ingatkan agar penduduk jangan libatkan diri dalam kegiatan penanaman ketum kerana ia mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat,” katanya.

Mukhriz bagaimanapun berkata, kerajaan Kedah setakat ini hanya menasihati pemilik untuk memusnahkan ladang ketum berkenaan kerana tiada peruntukan undang-undang yang membolehkan kerajaan negeri memusnahkan tanaman itu.

“Kita mahu mereka yang musnahkan sendiri sebelum kita ambil tindakan bawah kesalahan lain. Kalau melanggar syarat tanah, kita boleh guna peraturan lain dalam Kanun Tanah untuk rampas tanah itu. Jadi yang rugi adalah penduduk. Lebih baik mereka usahakan tanaman lain,” katanya.

Berdasarkan rekod, lebih 80 hektar ladang yang ditanam pokok ketum dikesan di Padang Terap, Kubang Pasu membabitkan 22 hektar, selain Yan (sembilan hektar), Sik ( tiga hektar) dan lain-lain daerah dalam jumlah yang sedikit.

Artikel Berkaitan:

Mukhriz berkata, kekangan undang-undang menyukarkan penguatkuasaan dalam negara menyebabkan di peringkat negeri dirujuk kepada Kanun Tanah Negara membabitkan salahguna syarat pertanian, di mana penanaman ketum adalah salah di sisi undang-undang.

“Gejala ini harus dibanteras bermula dengan peringkat penanaman. Bagi saya, klausa itu sudah ada, cuma aspek penguatkuasaan. Dalam geran tanah pertanian dicop bentuk tanaman diusahakan seperti sawah padi atau getah, ketum tiada dalam senarai,” katanya ketika ditanya sama ada perlu diwujudkan klausa baharu bagi menjadikan tanaman ketum sebagai satu kesalahan.