Keluarga lapor polis selepas restoran sebar CCTV anak tak bayar bil makanan

JAKARTA – Keluarga seorang pelajar berusia 20 tahun di Solo, Indonesia, membuat laporan polis terhadap sebuah restoran selepas mendakwa premis itu menyebarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) anak mereka yang didakwa meninggalkan restoran tanpa menjelaskan bil makanan.
Wanita berusia 53 tahun yang dikenal pasti sebagai WN itu membuat laporan di Balai Polis Kota Surakarta selepas rakaman anak perempuannya, HN, dimuat naik ke media sosial.
Peguam keluarga itu, Asri Purwanti berkata, walaupun video berkenaan sudah dipadamkan, kesan terhadap maruah dan emosi anak guamnya masih dirasai.
“Walaupun sudah dipadamkan, rasa malu itu tidak terhapus. Kami mahu perkara ini menjadi pengajaran supaya orang ramai berhati-hati menggunakan media sosial,” katanya kepada detikJateng pada Selasa.
Menurut Asri, kejadian berlaku pada 3 Oktober lalu apabila HN berkunjung ke restoran berkenaan sebelum menghubungi ibunya dan berkongsi lokasi.
Beliau berkata, HN kemudian makan di restoran itu menggunakan kaedah bil terbuka, manakala ibunya meninggalkan premis lebih awal.
Asri mendakwa berlaku salah faham antara ibu dan anak berhubung pembayaran bil apabila HN menyangka ibunya sudah menjelaskan bayaran makanan berkenaan kerana mereka biasa makan di restoran itu.
“Anak guam saya menyangka ibunya sudah membayar kerana mereka biasa makan di situ. Ibunya pula sibuk sehingga berlaku salah faham,” katanya.
Asri menjelaskan, HN ketika itu sedang menunggu rakannya yang tidak kunjung tiba. Selepas selesai makan, pelajar itu melalui kaunter pembayaran sebelum menuju ke keretanya.
Beliau mendakwa tiada teguran dibuat oleh kakitangan restoran berhubung bil yang belum dijelaskan ketika HN melalui kaunter tersebut.
Menurutnya, HN kemudian menunggu di dalam kereta selama kira-kira 30 minit sebelum meninggalkan lokasi.
“Ada petugas yang menghampiri kereta, tetapi tidak mengetuk pintu,” katanya.
Asri berkata, bil makanan dan minuman berkenaan berjumlah kira-kira 530,000 rupiah (RM120.85).
Beliau turut menegaskan HN bukan pelanggan baharu, sebaliknya kerap mengunjungi restoran itu antara dua hingga empat kali sebulan dan pernah meraikan hari lahir di situ.
Asri mempersoalkan tindakan restoran berkenaan menggunakan media sosial untuk menuntut bayaran sedangkan pihaknya boleh mendapatkan penjelasan daripada keluarga HN terlebih dahulu.
“Perkara yang kami kesalkan ialah mengapa tuntutan bayaran perlu dibuat melalui media sosial? Mengapa pihak restoran tidak mendapatkan penjelasan terlebih dahulu, sedangkan anak guam saya sering makan di situ?” katanya.
Menurut Asri, keluarga HN hanya mengetahui mengenai video itu selepas dimaklumkan seorang rakan kerana pelajar berkenaan jarang menggunakan media sosial.
HN dikatakan terkejut apabila mengetahui rakaman itu tersebar dan berasa terlalu malu sehingga tidak berani keluar rumah.
Asri berkata, keluarga berkenaan menyimpan salinan rakaman CCTV yang dimuat turun sebelum video itu dipadamkan.
Menurutnya, video pertama dimuat naik pada 3 Oktober dengan identiti pelanggan disamarkan, manakala rakaman kedua disiarkan pada 7 Oktober tanpa penyamaran.
Keluarga HN melalui ibunya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kota Surakarta. Laporan itu didaftarkan dengan nombor STBP/773/X/2026/Reskrim.
Pihak keluarga mempersoalkan penyiaran rakaman CCTV yang memaparkan wajah individu tanpa penyamaran, meskipun kandungan berkenaan kemudian dipadamkan.
Restoran dakwa pelanggan hanya membayar selepas video disiarkan
Sementara itu, Penyelia Grandmas Signature, Andreas Ardiwijaya berkata, pihak restoran sudah memadamkan semua hantaran berkaitan pelanggan berkenaan selepas bil dijelaskan.
Beliau berkata, pihaknya turut memuat naik kenyataan penjelasan bahawa pelanggan itu sudah membuat pembayaran.
Andreas berkata, pihak restoran menghormati hak pelanggan untuk mengambil tindakan undang-undang dan akan menunggu perkembangan seterusnya.
Menurutnya, hantaran media sosial itu pada asalnya dibuat untuk meminta pelanggan berkenaan menyelesaikan bil tertunggak.
Beliau mendakwa pihak restoran tidak mempunyai nombor telefon HN kerana kunjungannya pada 3 Oktober dibuat tanpa tempahan.
Andreas menjelaskan, mengikut prosedur perkhidmatan restoran, nama pelanggan direkodkan bagi tujuan urusan perkhidmatan, manakala nombor telefon biasanya disimpan sekiranya pelanggan membuat tempahan.
“Kami tidak meminta nombor telefon pelanggan kerana turut menjaga privasi mereka. Kami hanya mengambil nama bagi tujuan perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata, maklumat mengenai pelanggan itu dimuat naik melalui Instagram Story pada hari kejadian, iaitu 3 Oktober, dengan wajah serta nombor pendaftaran kenderaan disamarkan.
Pihak restoran kemudian memberikan tempoh 24 jam kepada pelanggan untuk menunjukkan iktikad baik. Namun, menurut Andreas, tiada maklum balas atau pembayaran diterima dalam tempoh berkenaan.
Beliau berkata, tempoh itu kemudian dilanjutkan sehingga 7 Oktober.
Bagaimanapun, Andreas mendakwa pelanggan hanya menghubungi pihak restoran dan membuat pembayaran selepas rakaman yang tidak lagi menyamarkan identitinya dimuat naik.
“Selepas kami memuat naik rakaman tanpa penyamaran, pelanggan itu menghubungi kami dan membuat pembayaran.
"Kami kemudian memadamkan semua kandungan berkaitan serta memuat naik penjelasan bahawa bilnya sudah dijelaskan,” katanya.
Mengulas dakwaan keluarga bahawa HN merupakan pelanggan tetap dan pihak restoran sepatutnya mempunyai maklumat perhubungannya, Andreas berkata, pihaknya menghormati perkara itu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kunjungan HN pada 3 Oktober dibuat tanpa tempahan. Justeru, pihak restoran hanya merekodkan namanya sebagai pelanggan yang datang secara terus.
Andreas turut menjelaskan restoran berkenaan mengamalkan sistem pembayaran selepas pelanggan selesai menikmati hidangan dan tidak mewajibkan bayaran dibuat terlebih dahulu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

