Sila log masuk terlebih dahulu.

Belanja sekolah: Masuk 3 keluar 4

A
A
A

SETIAP kali sesi baru buka sekolah, memang menjadi rutin setiap ibu bapa sibuk mendaftar anak ke sekolah terutama darjah satu.

Saya pula membawa tiga orang anak mendaftar ke sekolah rendah. Seorang darjah empat dan dua orang lagi pula darjah dua. Dua orang berada di darjah dua kerana seorang lahir pada 1 Januari.

Di Kedah, tahun baharu tidak cuti, termasuk di beberapa negeri di Pantai Timur juga. Dan satu negeri di selatan tanah air iaitu Johor, juga tidak mengambil cuti tahun baharu.

Saya pula sebenarnya mendaftar anak bertukar sekolah dari Pulau Pinang ke Kedah. Setelah pergi ke pejabat, saya diberitahu untuk tunggu di luar dahulu memandangkan keadaan dalam pejabat agak sesak.

Sementara menunggu, saya sempat berbual dengan seorang wanita yang ingin mendaftar dua orang anak juga. Kata wanita tersebut,

“Dua orang masih sekolah rendah. Dua orang lagi sekolah menengah. Yang sulung sudah di universiti.”

“Oh, saya tiga di sekolah rendah, dua di sekolah menengah, tinggal di asrama.”

“Dah daftar ke kedua-dua anak di sekolah menengah tu?”

Artikel Berkaitan:

“Aha sudah daftar. Nasib baik pendaftaran dibuat pada hari berlainan. Kalau tidak bergegas juga berkejar ke sana ke mari,” jawab saya lagi.

“Oh ya, memang agak sibuk sikit. Setiap tahun pun begitu,’’ katanya.

Kata wanita itu lagi, “sekarang belanja sekolah pun banyak. Seorang anak di sekolah rendah, bayar sekolah saja pun dah dekat seratus lebih. Yang sekolah menengah lagi banyak.’’

Saya mengangguk-angguk sahaja.

Kemudian kata wanita itu lagi, “yang di sekolah menengah asrama, seorang hampir tujuh ratus lebih. Yuran makan pula ikut isi pendapatan satu rumah.

Kalau pendapatan RM5,000 ke bawah, yuran makan RM1 sehari. Kalau pendapatan lebih RM5,000, yuran makan jadi RM3 sehari pula. Banyak bezanya tu.”

“Aha betul,” jawab saya bersetuju.

Memang ada syarat yang berbeza untuk pembayaran asrama sekolah. Anak saya di asrama pun begitu juga bayarannya. Lebih kurang dekat tujuh ratus seorang. Di asrama banyak keperluan perlu dibeli juga. Cadar, selimut, baju batik, baju Melayu, samping wajib dibeli di koperasi untuk keseragaman. Dan harganya boleh tahan juga.

Baju sukan putih berkolar pula, jika dibeli di koperasi, lebih mahal dari dibeli di luar. Nasib baik juga baju itu kosong sahaja, bolehlah dibeli di kedai lain.

Dan harganya hanya lebih kurang RM9 sahaja. Di koperasi, harganya lebih kurang RM15. Dengan RM15 saya sudah boleh membeli dua helai baju di kedai luar.

Kata wanita itu, “saya pun tak faham, baju prep pula ada warna lain. Kalau prep siang warna ungu, kalau prep malam warna lain pula. Itu pun kena beli juga. Kalau harga murah tidak apalah. Tapi harganya pun boleh tahan juga.

"Tak bolehkah waktu prep, pakai baju bebas sahaja. Kalau keluar bandar atau balik kampung tak apalah kena pakai baju seragam. Kan lebih senang kalau keluar bandar pakai baju sekolah sahaja. Tak perlulah pakai baju batik."

Saya mengangguk sahaja. Sudah menjadi lumrah setiap kali sesi baharu persekolahan. Banyak belanja juga lebih-lebih lagi jika mempunyai ramai anak. Boleh menjadi tinggi duduk dari cangkung. Itu untuk sekolah menengah.

Untuk sekolah rendah pula kata wanita itu, “Nak kena beli tali leher, tanda nama, lencana dan baju rumah sukan pula. Seorang anak dekat seratus juga termasuk semua kelengkapan. Dua orang?” Wanita itu tersenyum pahit sambil matanya memandang anak-anaknya yang sedang berlari-lari keriangan.

“Petang nanti nak kena beli kelengkapan Kafa pula. Baju warna lain pula. Buku lagi,” kata wanita itu lagi.

“Nanti beritahu sekolah hendak bayar ansur-ansur,” kata saya.

“Cadangnya begitulah. Ini pun saya sudah bayar RM100 tadi. Ada RM50 lagi. Nak bayar untuk Kafa pula. Nak bayar dua atau tiga kali kalau boleh,” kata wanita itu.

“Boleh," jawab saya tersenyum.

Saya teringat juga perbualan dengan seorang kawan yang tinggal di bandar. Kawan saya beritahu, yang dia hendak hantar anak ke kelas Kafa tapi penuh.

Jadi terpaksa hantar ke tempat lain. Tiga anaknya perlu berbelanja RM300. Tadika dan transit pula katanya lebih kurang RM800. Itu belum dikira van sekolah lagi.

Maka jadilah seperti masuk tiga keluar empat. Oleh itu, ibu bapa perlulah bekerja keras lagi. Seperti kata orang tua-tua, jika tidak dipecah ruyung, di mana boleh dapat sagunya.

Kalau tidak nanti dikata pemalas pula walaupun dah banyak ruyung yang pecah, sehingga tidak ada ruyung lagi hendak dipecahkan.

Selain itu perbelanjaan keluarga juga perlu dirancang dengan teliti juga supaya tidak menjadi besar suap daripada mulut. Sekarang pun ada simpanan SSPN sebagai bekalan anak-anak ke universiti pula.

Namun begitu, elok juga orang-orang yang mempunyai kuasa melihat-lihat keadaan ini. Bukan semua orang ada padi dan bukan juga semua orang ada beras.

Kalau ada padi semua kerja jadi, kalau ada beras semua kerja jadi deras, terutama kepada mereka yang kering pengayuh di tangan, kering wang di pinggang.

*Penulis seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, emel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com