Isu video perkauman, polis mungkin panggil Salahuddin

Mustafa Bakri Salleh, Salahuddin Ayub
Mustafa Bakri Salleh, Salahuddin Ayub
A
A
A

PONTIAN - Polis tidak menolak kemungkinan untuk memanggil Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub bagi membantu siasatan berhubung penularan klip video berbaur perkauman pada perjumpaan tertutup di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Chio, Kukup Laut baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, klip video yang memaparkan petikan dipercayai daripada Salahuddin itu dilihat mampu mengancam keselamatan dan kestabilan negara.

Bagaimanapun menurutnya, polis akan cuba mempercepatkan siasatan berhubung perkara berkenaan.

“Kita tengok pada keadaan nanti. Kalau kita perlu (panggil). Setakat ini, ia masih dalam siasatan.

“Kita juga cuba cepatkan siasatan. Kita ada pasukan daripada pihak jabatan jenayah bagi mana-mana pihak yang terlibat melibatkan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1964,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian hari ini.

Mustafa Bakri berkata demikian bagi mengulas berhubung laporan polis yang dibuat oleh Pemuda Barisan Nasional (BN) di IPD Pontian, semalam berhubung penularan klip video berkenaan.

Sementara itu Mustafa Bakri berkata, polis turut membuka tiga kertas siasatan daripada lapan laporan yang dibuat setakat ini melibatkan isu bendera Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), papan iklan luar Gerakan yang tumbang dipercayai akibat perbuatan sabotaj, selain ucapan berbaur perkauman dipercayai daripada Salahuddin.

“Bagi laporan polis terhadap calon Barisan Nasional (BN), (Datuk Seri Dr) Wee Jeck Seng yang dikatakan terlibat dengan rasuah dalam projek Permit Masuk Kenderaan (VEP) selain penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan awam, kita telah maklumkan kes ini kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Artikel Berkaitan:

“Kita juga tidak ada menerima laporan atau membuat tangkapan melibatkan permit bagi tujuan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P165 Tanjung Piai.

“Setakat ini tak ada (tangkapan) yang melibatkan permit. Kalau ada, kita nasihatkan pada parti-parti terlibat supaya mohon permit (daripada) kita,” katanya.