PM lancar inisiatif PPP perangi jenayah kewangan

Dr Mahathir bercakap pada Persidangan Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan Antarabangsa (IFCTF 2019) di sini hari ini. FOTO: BERNAMA
Dr Mahathir bercakap pada Persidangan Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan Antarabangsa (IFCTF 2019) di sini hari ini. FOTO: BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melancarkan inisiatif Kerjasama Awam-Swasta (PPP) iaitu hasil kolaboratif dan usaha antara Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, agensi penguatkuasa undang-undang dan institusi kewangan bagi memerangi jenayah kewangan secara lebih berkesan.

Bercakap pada Persidangan Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan Antarabangsa (IFCTF 2019) di sini Perdana Menteri berkata, PPP terbabit berupaya menggalakkan sinergi anti-pengubahan wang haram atau menangani kaedah pembiayaan keganasan.

"Ini mampu dicapai menerusi perkongsian maklumat perisikan kewangan secara berkesan, bertepatan masanya serta lancar daripada institusi kewangan bagi tujuan pencegahan jenayah dan penguatkuasaan undang-undang.

"Kaedah pengesanan transaksi mencurigakan oleh pihak institusi kewangan dan institusi pelaporan lainnya memerlukan masa yang lama dalam usaha menghapuskan jenayah kewangan," katanya.

Turut hadir pada majlis itu adalah Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Latheefa Koya.

Persidangan IFCTF 2019 selama dua hari bermula hari ini dianjurkan oleh Institut Bank-Bank Bertauliah Asia (AICB).

Selain itu Perdana Menteri turut menegaskan peranan penting institusi swasta dan rakyat bagi memerangi jenayah kewangan selain untuk membolehkan transformasi Malaysia kepada sebuah negara maju yang dipacu oleh nilai selain memelihara integriti sistem kewangan negara ini.

Menurut Dr Mahathir, komponen utama PPP di peringkat dunia memberi penekanan terhadap perlindungan data peribadi dan kerahsiaan yang berpandukan Peraturan Perlindungan Data Am Kesatuan Eropah.

Artikel Berkaitan:

Bagi PPP di Malaysia beliau berkata, institusi penguatkuasaan undang-undang dan kewangan akan terus berteraskan rangka kerja undang-undang perlindungan data negara bagi memerangi jenayah kewangan.

"Saya percaya usaha murni sedemikian perlu diperkukuh dan diperluaskan lagi bagi meningkatkan penyertaan lebih banyak pihak khususnya orang ramai untuk menunaikan tanggungjawab mereka memerangi rasuah dan jenayah kewangan," kata beliau.

Sehubungan itu Perdana Menteri berkata, Malaysia perlu berusaha secara berterusan untuk membina elemen kritikal kepercayaan dan ketelusan terbabit menerusi dialog terbuka dan kolaboratif membabitkan kalangan pemain pasaran yang relevan, meningkatkan usaha pembaharuan dan memperkukuh institusi, dasar dan rangka kerja undang-undang.

Ini pada akhirnya akan membolehkan Malaysia memainkan peranan secara berkesan dalam usaha global memerangi jenayah kewangan dan pembiayaan keganasan. - Bernama