Keputusan cabar tubuh sekolah vernakular diketahui 11 November

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan akan memutuskan pada 11 November ini sama ada memberikan kebenaran kepada seorang peguam untuk mencabar Perlembagaan berhubung kewujudan sekolah vernakular.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah daripada peguam yang mewakili pihak-pihak dalam permohonan itu.

Pempetisyen, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, perlu mendapatkan kebenaran daripada seorang hakim Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 4 (4) Perlembagaan Persekutuan kerana beliau mencabar keupayaan undang-undang persekutuan untuk meluluskan undang-undang.

Dalam notis usul yang difailkan pada 23 Oktober lepas, peguam terbabit memohon deklarasi daripada Mahkamah Persekutuan bahawa adalah tidak berperlembagaan untuk Parlimen meluluskan pindaan kepada Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 untuk kewujudan berterusan sekolah vernakular.

Beliau menamakan Menteri Pendidikan dan Kerajaan Persekutuan sebagai responden.

Mohd Khairul Azam mendakwa sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil yang ditubuhkan oleh Menteri Pendidikan bertentangan dengan Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu.

Dalam prosiding hari ini, peguam Datuk Shaharudin Ali yang mewakili Mohd Khairul Azam memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya memohon perisytiharan bahawa Seksyen 28 dan Seksyen 17 Akta Pendidikan tidak sah atas alasan Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk melulus kedua-dua bahagian itu.

Shaharudin berkata, sebarang pindaan kepada Perkara 152 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu harus mendapat persetujuan daripada Majlis Raja-Raja.

Artikel Berkaitan:

Perkara 152 (1) menyatakan bahawa bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu dan hendaklah dalam naskhah seperti yang dibenarkan oleh Parlimen dan undang-undang:

(a) dengan syarat bahawa tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain daripada untuk tujuan rasmi), atau dari pengajaran atau pembelajaran, apa-apa bahasa lain.

Peguam Kanan Persekutuan, Alice Loke Yee Ching berhujah bahawa permohonan Mohd Khairul Azam tidak memenuhi syarat di bawah Perkara 4 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan undang-undang dicabar atas alasan Parlimen telah membuat perundangan berhubung hal itu dan ia tidak mempunyai kuasa berbuat demikian.

Azahar juga mendengar hujah peguam pencelah, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar bagi pihak Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) manakala peguam Datuk Bastian Pius Vendargon mewakili Majlis Bahasa Cina Malaysia dan Persatuan Tamil Neri Malaysia. - Bernama