RM84.4 juta untuk kurangkan banjir di Selangor

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM84.4 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor dalam usaha mengurangkan kejadian banjir yang sering berlaku di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, sebanyak RM52.19 juta diperuntuk bagi pembangunan projek tebatan banjir; RM26.84 juta bagi menaiktaraf saliran; RM700,00 bagi pembangunan lembangan sungai dan sebanyak RM960,000 bagi pembangunan sumber air dan hidrologi.

Menurutnya, sebanyak RM600,000 lagi diperuntukkan untuk program pengurusan saliran mesra alam, sebanyak RM1.4 juta bagi pembangunan pantai dan sebanyak RM1.7 juta bagi pembangunan infrastruktur mekanikal dan elektrikal.

“Sebanyak 62 peratus daripada peruntukan diperolehi adalah bagi pelaksanaan projek tebatan banjir manakala 32 peratus lagi bagi projek menaiktaraf saliran.

“Dengan terlaksananya projek ini dijangka dapat mengurangkan kekerapan banjir yang sering berlaku di negeri Selangor,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2020 pada Jumaat lalu.

Amirudin berkata, tiga projek yang menerima peruntukan tertinggi adalah Projek Tebatan Banjir di Pandamaran dengan jumlah diperuntukkan sebanyak RM5.4 juta; Projek Tebatan Banjir di Hilir Sungai Kuang, Mukim Rawang (RM7.5 juta) dan Projek Tebatan Banjir di Sungai Labu sebanyak RM9.5 juta.

Katanya, bagi projek menaiktaraf saliran, sebanyak RM26.84 juta diperuntukkan bagi melaksanakan 11 projek menaiktaraf parit utama dan sistem parit dalaman.

“Antara projek akan dilaksanakan adalah menaiktaraf saliran di Pekan Meru dan Kampung Jawa, Klang dengan peruntukan sebanyak RM16 juta.

Artikel Berkaitan:

“Peruntukan turut diberikan kepada JPS untuk menaiktaraf saliran di Kampung Bukit Lanchong dan Kampung Sungai Baru di daerah Petaling (RM4 juta) serta menaiktaraf parit utama dan sistem parit dalaman di Kampung Seri Aman, Puchong (RM4 juta),” katanya.