Pembangunan agrokulinari tingkat permintaan terhadap bahan mentah

Salahuddin (empat dari kiri) pada gimik pelancaran program berkenaan.
Salahuddin (empat dari kiri) pada gimik pelancaran program berkenaan.
A
A
A

PONTIAN - Pembangunan sektor agrokulinari akan membantu meningkatkan permintaan terhadap bahan mentah berasaskan pertanian, perikanan dan penternakan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, peningkatan permintaan ini secara langsung memberikan pulangan lebih baik kepada golongan petani, penternak dan nelayan tempatan.

Menurutnya, sektor agrokulinari akan turut memberikan fokus kepada pembangunan menu hidangan Malaysia yang menggunakan bahan mentah tempatan untuk distandardkan dari segi rasa dan persembahan.

"Melalui kaedah ini, kualiti makanan akan dapat dipelihara hingga ke peringkat antarabangsa," katanya sempena Program Makan Perpaduan di Pusat Perdagangan Bandar Baru Pontian, Johor hari ini.

Untuk rekod, industri kulinari bermula dengan program Malaysia Kitchen Programme (MKP) pada 2006 dan 2015 oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melibatkan 1,000 restoran Malaysia di seluruh dunia.

Sebahagian pengunjung yang hadir sempena Program Makan Perpaduan di Pusat Perdagangan Bandar Baru Pontian, Johor hari ini.
Sebahagian pengunjung yang hadir sempena Program Makan Perpaduan di Pusat Perdagangan Bandar Baru Pontian, Johor hari ini.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) turut memperuntukkan RM5.5 juta di bawah Belanjawan 2018 bagi Program Pembangunan Kulinari.

Pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2018, MOA turut memperkenalkan Kluster Agrokulinari melibatkan persembahan menu hidangan Malaysia, pertandingan agrokulinari dan teknologi terkini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Salahuddin berkata, beberapa program telah dicadangkan untuk dianjurkan bagi 2019 dan 2020 antaranya Malaysian Street Food Lover@Thailand, Malaysian Street Food Lover@Kuala Lumpur, APEC Malaysia 2020, Expo Dubai 2020, Olimpik Tokyo 2020 dan Visit Malaysia 2020.

"Pihak MOA (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani) turut menggariskan tujuh hala tuju strategik melibatkan pembangunan menu hidangan Malaysia, pembangunan standard dan persembahan menu hidangan Malaysia, pembangunan modul latihan, akreditasi chef, akreditasi restoran, pembangunan usahawan baharu dan sediakala dan promosi menu hidangan Malaysia.

"Ini selaras dengan perancangan lima tahun melibatkan 10 standard menu hidangan Malaysia, satu modul latihan, satu akreditasi chef, satu akreditasi restoran, 10 pengiktirafan chef, 10 pengiktirafan restoran dan 30 program promosi," katanya.