X

Kindly register in order to view this article
!

Belanjawan Selangor 2020 dibentang petang ini

A
A

SHAH ALAM - Belanjawan Selangor 2020 akan dibentang oleh Menteri Besar, Amirudin Shari di Dewan Undangan Negeri Selangor bermula jam 3 petang hari ini.

Menerusi pembentangan kali ini, Kerajaan Selangor dijangka meneruskan kesinambungan kepada dua pembaharuan yang diperkenalkan dalam belanjawan lalu meliputi dasar klusterisasi dan penjajaran.

Antara intipati yang akan diberi penekanan dalam belanjawan kali ini meliputi Smart Selangor, pendidikan, keselamatan, Skim Peduli Sihat, Inisiatif Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan perumahan.

Menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2019 lalu, kerajaan negeri mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.56 bilion meliputi RM1.28 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.28 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Malah Selangor yang terkenal dengan Inisiatif Peduli Sihat (IPR) turut melakukan penjajaran bagi skim berkenaan dengan menggunakan konsep daripada pemberian kepada pemberdayaan.

Amirudin sebelum ini pernah menyatakan bahawa penjajaran IPR perlu dilaksanakan bagi memastikan keberdayaan rakyat dapat dicapai dengan memberi fokus kepada golongan sasar yang memerlukan dan bukan diberi hanya secara purata.

Melalui pelaksanaan ini, tiga komponen IPR iaitu Air Percuma, Skim Peduli Sihat dan Bantuan Am Kebajikan akan melalui penjajaran semula secara strategik bagi memastikan program tersebut lebih berfokuskan kepada golongan sasar dan memaksimumkan impak kepada rakyat.

Selain penjajaran, Kerajaan Selangor juga mula menggunakan sistem petunjuk prestasi utama (KPI) bagi menentukan kadar pembayaran bonus bagi penjawat awam di negeri ini dalam belanjawan tahun lalu.

Teks ucapan penuh Belanjawan Selangor 2020 akan dimuat naik di laman sesawang amirudinshari.com bermula jam 5 petang pada hari ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus