ADUN Pelabuhan Klang cari jalan selesai syarat baharu GDL

Azmizam (kiri) mengadakan pertemuan dengan pemandu lori yang berkumpul di tepi jalan berhampiran Taman Perindustrian Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang bagi membantah syarat baharu dalam pembaharuan GDL.
Azmizam (kiri) mengadakan pertemuan dengan pemandu lori yang berkumpul di tepi jalan berhampiran Taman Perindustrian Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang bagi membantah syarat baharu dalam pembaharuan GDL.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri dijadualkan mengadakan pertemuan dengan setiausaha politik menteri pengangkutan berhubung syarat baharu dalam pembaharuan Lesen Kenderaan Perdagangan (GDL) 13 November ini.

Azmizam berkata, lokasi pertemuan itu masih belum diputuskan sama ada di Putrajaya atau di Pejabat Persatuan Pemandu Kontena Selangor (PPKS).

"Mungkin akan diadakan sesi dialog antara PPKS dan wakil kementerian untuk penjelasan tentang syarat baru ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Mengulas mengenai lebih 150 pemandu lori berkumpul di tepi jalan berhampiran Taman Perindustrian Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang hari ini Azmizam berkata, beliau mengambil inisiatif bertemu dengan pemandu lori bagi mengetahui apakah isu yang cuba dibangkitkan.

"Maklum balas yang saya terima daripada pemandu lori terbabit kurang jelas berkenaan isu pemeriksaan kesihatan wajib sebelum mereka memperbaharui GDL.

"Saya tidak jumpa mana-mana kenyataan dari pihak Kementerian Pengangkutan berhubung syarat baru ini," katanya.

Katanya, beliau yakin apa jua keputusan yang diputuskan pihak kerajaan berdasarkan kajian terperinci selain mengambil kira kepentingan semua pihak.

"Kita kena melihat perkara ini dari sudut positif kerana jika pemandu kenderaan berat berada dalam keadaan kesihatan tidak mengizinkan tentunya ia memberi kesan kepada pemandu kenderaan kecil lain seperti kereta, motosikal serta kenderaan awam yang berada atas jalan raya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, perlunya situasi 'menang-menang' antara semua pihak dalam isu terbabit.

"Malah saya juga bersetuju perlunya perbincangan dengan kementerian tentang apa program kebajikan kepada pemandu lori yang tidak dapat perbaharui GDL atas faktor kesihatan sama ada mereka diberi insurans, caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) atau apa jua bentuk bantuan kebajikan yang lain untuk meringankan beban pemandu lori yang mempunyai tanggungan serta kos sara hidup," katanya.