PLUS sangkal laporan kurang tepat mengenai hutang, kecekapan operasi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) hari ini menyifatkan laporan media membabitkan jumlah hutang dan kecekapan operasinya sebagai kurang tepat.

Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail menyangkal laporan media memetik ahli perniagaan, Tan Sri Halim Saad itu yang antara lainnya mendakwa hutang PLUS meningkat hampir 10 kali ganda harga tender iaitu RM3.4 bilion ditetapkan pada 1988 dan hanya RM700 juta (hutang) dibayar.

"Antara kenyataan kurang tepat ialah apabila ahli perniagaan itu (Halim) mendakwa ketika beliau meninggalkan operasi PLUS sembilan tahun lalu, jumlah pinjaman hanya berada pada RM6 bilion iaitu lima kali lebih rendah berbanding hutang semasa pengendali lebuh raya itu.

"Apabila Syarikat Danasaham Sdn Bhd (yang kemudiannya memindahkan semua asetnya kepada Khazanah Nasional Berhad) mengambil alih UEM Group Berhad (UEMG) daripada Renong Berhad dan UEMG diswastakan pada tahun 2001, PLUS adalah anak syarikat milik penuh UEMG. Namun PLUS mempunyai hutang sedia ada dengan jumlah pinjaman sebanyak RM16.5 bilion pada tahun kewangan 31 Disember 2001.

"Jumlah ini hampir tiga kali lebih tinggi daripada angka yang dinyatakan dalam kenyataan Tan Sri Halim Saad," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kenyataan itu bagi menjelaskan laporan media berhubung pengambilalihan PLUS oleh syarikat-syarikat swasta dan beberapa kenyataan yang kurang tepat mengenai pemegang konsesi lebuh raya itu.

Menjelaskan selanjutnya, beliau berkata, susulan itu, UEMG di bawah pemegang saham baharu, Danasaham, telah menyenaraikan PLUS di papan utama Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) (kini dikenali sebagai Bursa Malaysia) melalui tawaran awam permulaan pada 2002 dengan nilai sebanyak RM12.75 bilion, yang berjaya mengurangkan hutang PLUS kepada RM7.2 bilion.

PLUS telah disenaraikan di Bursa Malaysia selama sembilan tahun dan sepanjang tempoh tersebut, ia berjaya mengembangkan perniagaannya melalui pemerolehan lebuh raya dalam negara serta pinjaman termasuk ELITE (Lebuhraya Utara Selatan Lingkaran Tengah) dan LINKEDUA (Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura).

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, PLUS kemudiannya diswastakan pada November 2011 di bawah tawaran bersama daripada UEMG dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berdasarkan penilaian diluluskan sebanyak RM23.0 bilion bagi menangani kehendak berbeza di antara pelabur asing, institusi dan pelbagai pihak berkepentingan di dalam negara membabitkan isu kenaikan kadar tol.

Berikutan itu, katanya, PLUS telah menerbitkan Sukuk Islam terbesar berjumlah RM30.6 bilion pada Januari 2012 bagi membiayai kos penswastaan ​​sebanyak RM23.0 bilion serta pembiayaan balik pinjaman PLUS berjumlah RM11.5 bilion.

Malah, jelas Azman, antara perkara yang perlu diambil kira adalah PLUS tidak menaikkan kadar tol selama 14 tahun sejak 2005 dan kadar tol semasa bagi setiap kilometer di Lebuhraya Utara-Selatan dan ELITE merupakan antara terendah di negara ini.

Keuntungan PLUS pula diagihkan kepada pemegang saham, KWSP dan Khazanah Nasional Berhad (melalui anak syarikat milik penuhnya, UEM Group) yang seterusnya memberi manfaat kepada pencarum KWSP selain rakyat dan kerajaan.

Beliau berkata, Lembaga Pengarah PLUS Malaysia Berhad turut menyedari bahawa PLUS berdepan peningkatan persaingan yang semakin mencabar seperti jaringan lebuh raya baharu serta perkembangan sistem pengangkutan awam dan teknologi digital.

Sehubungan itu, pihak Lembaga Pengarah telah membuat keputusan untuk mengambil bakat-bakat baharu dan menggunakan pelan perniagaan baharu termasuk mengoptimumkan pendapatan bukan tol dan kecekapan operasi di dalam organisasi.

"Syarikat juga akan terus melabur dalam perkembangan teknologi terkini ke arah pembangunan lebuh raya pintar untuk manfaat semua pelanggan lebuh raya. PLUS bukan sahaja dianggap sebagai syarikat konsesi tol terbesar dan paling berpengalaman di rantau Asia Tenggara tetapi turut berada dalam kalangan 10 syarikat lebuh raya utama dunia, dan sentiasa mengukur keupayaannya menerusi kecemerlangan operasi dan kos," katanya.

Malah, kata Azman, laporan penanda aras baru-baru ini menunjukkan PLUS cemerlang di dalam operasi, penyelenggaraan mekanikal dan elektrikal serta menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding pesaing dalam industri yang sama di dalam negara.

Selain itu, sistem tol dinamik yang sedang dibangunkan oleh PLUS juga akan mengurangkan kesesakan pada waktu puncak manakala teknologi terkini membolehkan jangkaan maklumat masa nyata mengenai keadaan jalan dan cuaca boleh diperolehi oleh semua pelanggan lebuh raya.

"PLUS menguruskan lebih daripada 1,100 kilometer lebuh raya yang mempunyai 8,303 cerun, dua terowong (Meru dan Menora), 741 jambatan (termasuk jambatan utama seperti Jambatan Pulau Pinang, Tambak Johor, Jambatan Kedua Malaysia-Singapura) dan 6,187 saliran/sistem pembetung...semua ini memerlukan rejim penyelenggaraan berterusan dan PLUS juga menjalankan lebih daripada 10,000 pemeriksaan setiap tahun," katanya.

Selain itu, PLUS juga turut menjalankan inisiatif memberi ‘wajah baharu’ dan meningkatkan kemudahan ke atas 29 kawasan rehat dan rawat (R&R) serta 50 hentian sebelah, 4 restoran jejantas, 114 persimpangan bertingkat, 104 plaza tol dan 1,212 lorong tol secara berterusan yang mana kos penyelenggaraan dan naik taraf ini ditanggung sepenuhnya oleh PLUS. - Bernama