X

Kindly register in order to view this article
!

[VIDEO] Berhimpit dalam rumah kongsi

Affandi menguruskan bapa mentua yang mengalami strok dan lima adik ipar yang masih bersekolah.
A
A

GUA MUSANG - [DIKEMASKINI] Hanya berpendapatan kira-kira RM1,000 sebulan hasil keringat di kilang kayu, seorang lelaki perlu menyara lapan ahli keluarga termasuk lima adik ipar dan bapa mentua yang sakit.

Mohamad Affandi Abdul Basik, 29, berkata, sejak ibu mentuanya meninggal dunia empat bulan lalu, dia dan isteri, Siti Norfaezah Bahar, 27, perlu menjaga bapa mentua yang lumpuh akibat strok.

Mentuanya, Bahar Lorong, 64, tidak mampu menguruskan diri dan bergantung kepada bantuan anak-anak untuk bergerak.

Selain bapa, Affandi turut menjaga lima adik yang masih bersekolah iaitu Mohamad Sharul Bahar, 17; Nor Aini Bahar, 14; Kartina Bahar, 12; Mohamad Khairul Azam, 9 dan Mohamad Khairul Fahmi, 4.

"Saya tinggal di rumah kongsi yang disediakan syarikat kilang kayu di Kawasan Perindustrian Gua Musang. Sebelum ini, saya tinggal bersama isteri dan dua anak (Mohamad Adam Mikael, 7 dan Ainur Hawani, 2).

"Tapi, bila ibu mentua saya meninggal dunia sejak empat bulan lalu, saya mengambil tanggungjawab menjaga bapa mentua yang sakit dan lima adik ipar," katanya.

Menurutnya, keadaan rumah kongsi yang kecil dan serba kekurangan menyebabkan mereka terpaksa tinggal berhimpit bersama-sama.

"Dengan pendapatan yang agak rendah, saya buntu memikirkan perbelanjaan sekolah adik-adik tahun hadapan," katanya.

Sementara itu, Norfaezah berkata, empat adiknya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM100 sebulan.

"Bapa saya sakit sejak empat tahun lalu dan tidak menerima sebarang bantuan daripada mana-mana agensi.

"Setiap hari, kami hanya makan ikan selayang dan telur. Makanan lain, kami tak mampu. Saya pula tidak dapat bekerja kerana sedang hamil dan mengalami alahan teruk," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional milik Norfaezah, 03995-29-000195571.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!