Tak guna haram vape tanpa penguatkuasaan, kata Boon Chye

Boon Chye
Boon Chye
A
A
A

PETALING JAYA - Pengharaman rokok elektronik atau vape secara terburu-buru tidak akan berkesan jika agensi penguatkuasaan belum bersedia sepenuhnya.

Memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, kerajaan akan memutuskan sama ada vape diharamkan secara menyeluruh selepas mengkaji sejauh mana ia membahayakan kesihatan pengguna.

Menurutnya, dua perkara penting yang dinilai kementeriannya ialah aspek penguatkuasaan dan mencari sumber pendapatan lain untuk pengusaha vape.

“Terdapat pengusaha vape yang bergantung kepada industri tersebut untuk pendapatan. Mereka katakan vape lebih selamat daripada merokok.

“Tetapi kita sedang mengkaji bukti setakat mana vape itu menjejaskan kesihatan. Selepas itu, kita akan buat keputusan (sama ada haramkan atau tidak). Ini bukan perkara mudah,” katanya memetik laporan FMT hari ini susulan desakan Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) bersama 50 badan bukan kerajaan pada 24 Oktober lalu supaya kerajaan mengharamkan segera vape demi kesihatan rakyat.

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan dilapor menubuhkan sebuah jawatankuasa kerja pakar bagi mengkaji kemungkinan melaksanakan larangan sepenuhnya ke atas penggunaan vape.

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 21 Disember 2015 memutuskan penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram.

Sehingga kini, 43 negara termasuk Thailand, Singapura, Brunei dan Kemboja melaksanakan pengharaman sepenuhnya ke atas penjualan dan penggunaan vape.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Boon Chye berkata, pihaknya sedang meneliti kaedah penguatkuasaan di Indonesia.

“Kaedah bagaimana hendak kuatkuasakan (pengharaman) itu merupakan masalah besar. Kalau kita lihat di Indonesia, walaupun diharamkan dan dilarang tetapi vape masih boleh dilihat merata-rata.

“Singapura pula negara kecil, itu cerita lain. Tetapi negara lain turut hadapi masalah juga," katanya.

Terdahulu pada 23 Oktober lalu, Boon Chye dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat berkata, kaji selidik tembakau dan e-rokok ke atas pelajar di sekolah awam dan swasta baru-baru ini mendapati 300,000 pelajar berusia 10 hingga 19 tahun merupakan pengguna vape semasa di Malaysia.

Beliau berkata, tiada bukti atau kajian menunjukkan penggunaan vape atau cecairnya adalah selamat, berkesan merawat ketagihan merokok atau tidak memberi kesan jangka panjang kepada paru-paru.

Sebanyak 33 kes kematian melibatkan pengguna vape dilaporkan di Amerika Syarikat dengan majoritinya terdiri daripada orang muda.