Imam yang dipecat diminta bertenang

Ruzaini Rais
Ruzaini Rais
A
A
A

KANGAR – Pemecatan 25 orang imam dan 10 lagi yang ditukarkan adalah di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan di luar bidang kuasa kerajaan negeri, kata pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri, Ruzaini Rais.

Katanya, kerajaan negeri juga tidak dimaklumkan mengenai perkara itu kerana ia adalah urusan MAIPs.

“Justeru saya berharap imam-imam terlibat bertenang dan tidak mengambil tindakan yang boleh menjejaskan nama baik mereka.

“Saya dengar mereka yang tidak berpuas hati akan mengadakan piket di beberapa buah masjid selepas sembahyang Jumaat esok,” katanya semasa dihubungi, hari ini.

Ruzaini meminta imam-imam terbabit berfikir banyak kali sebelum melakukan sesuatu tindakan sebagai menghormati Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang DiPertua MAIPs.

Sebuah lagi institusi berkaitan agama iaitu Jabatan Mufti Perlis juga terletak di bawah MAIPs.

Surat pemecatan dan pertukaran imam-imam terbabit bertarikh 31 Disember lepas ditandatangani oleh pengarah Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr Hazman Hassan.

Dr Hazman, bagaimanapun, tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan penjelasan beliau namun difahamkan pemecatan dan pertukaran mereka ke kariah lain atas beberapa sebab antaranya dikatakan tidak sehaluan dengan pihak tertentu dan faktor usia.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu 16 orang guru takmir dipecat oleh JAIPs pada Disember lepas kerana didakwa tidak melaksanakan arahan pihak atasan.

Ruzaini berkata beliau difahamkan sebelum tindakan itu diambil semua imam berkenaan telah diberi taklimat.

“Selaku pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri, saya akan cuba membantu mana yang boleh agar isu ini diselesaikan dengan baik,” tambahnya. - Bernama