Kemenangan Demokrat buka peluang Malaysia lebih lantang pertahan keselamatan, diplomatik - Pakar

SHAH ALAM - Kejayaan Parti Demokrat menguasai Dewan Perwakilan dan Senat Amerika Syarikat (AS) pada pilihan raya pertengahan penggal negara itu membuka peluang kepada Malaysia untuk lebih lantang mempertahankan kepentingan ekonomi, keselamatan dan diplomatik negara termasuk dalam isu Palestin.
Pakar geostrategi, Profesor Dr Azmi Hassan berkata, kemenangan parti berkenaan akan mengurangkan kuasa Presiden AS, Donald Trump terutama dalam membuat dasar khususnya perundangan.
"Bagi Malaysia, perubahan suasana politik di AS itu memberi keuntungan kepada kita kerana pemerintahan, pentadbiran Trump tanpa kekangan daripada Kongres membolehkan beliau membuat sesuatu dasar itu ikut cita rasa dia. Ikut sesuka hati tanpa memikirkan perundangan antarabangsa dan tanpa memikirkan negara lain.
"Jadi perubahan ini dikatakan akan menjadi lebih baik bukan sahaja kepada Malaysia tapi kepada dunia lain termasuk ASEAN," katanya kepada Sinar Harian pada khamis.
Parti Demokrat dilapor memenangi kawalan ke atas kedua-dua Dewan Perwakilan dan Senat dalam Pilihan Raya Pertengahan Penggal pada Selasa, sekali gus menamatkan penguasaan Republikan di Kongres.
Keputusan itu dijangka memberi kuasa lebih besar kepada Demokrat untuk menyekat agenda perundangan Trump.
Sebelum ini, Republikan memegang majoriti tipis di kedua-dua dewan berkenaan.
Sementara itu, ditanya sama ada perkembangan ini berpotensi mengubah pendekatan AS terhadap konflik Iran, Asia Barat dan hubungan dengan sekutu tradisionalnya, sekali gus mempengaruhi kestabilan geopolitik dunia, Azmi tidak menolak kemungkinan tersebut.
Menurutnya, kemungkinan itu mengambil kira kenyataan yang dibuat sendiri oleh Trump kira-kira 24 jam undi pilihan raya tersebut dibuka.
"Trump mengatakan bahawa bantuan kepada Israel akan dikurangkan. Jadi menunjukkan bahawa Trump faham apa yang berlaku, bantuan yang terlampau banyak kepada Israel tanpa kekangan dan juga meletusnya perang Iran itu tidak disukai oleh rakyat AS.
"Ini dibuktikan dengan keputusan pilihan raya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

