Anthony Loke adakan sidang media susulan perkembangan kes Najib

Anthony Loke
Anthony Loke
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dijangka mengadakan sidang media pada jam 5 petang Jumaat di pejabatnya di Putrajaya.

Sidang media itu dipercayai bagi memberikan penjelasan berhubung pendiriannya untuk meletakkan jawatan susulan perkembangan terbaharu membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dibenarkan menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah.

Anthony sebelum ini menawarkan diri untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan selepas keputusan pengampunan bersyarat terhadap Najib diumumkan pada 19 September lalu.

Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang membincangkan pendirian parti berkenaan terhadap keputusan membenarkan bekas Presiden UMNO tersebut menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah.

Menurut Setiausaha Agung DAP, keputusan untuk meletakkan jawatan itu merupakan pendirian politiknya berhubung perkembangan tersebut, namun menteri dan timbalan menteri daripada parti itu yang lain akan terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kestabilan pentadbiran.

Pada 28 September lalu, Ahli Parlimen Seremban itu mengesahkan menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau kemudian menjelaskan bahawa peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa sebaik sahaja Najib dibenarkan keluar dari penjara untuk menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.

Bagaimanapun, Anwar meminta Anthony meneruskan tugas buat sementara waktu.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib sebelum ini menerima pengampunan bersyarat tambahan yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Artikel Berkaitan:

Keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang berlangsung di Istana Negara.

Pengampunan bersyarat berkenaan turut menetapkan pembayaran denda RM50 juta sebagai sebahagian daripada syarat perlu dipenuhi.

Sebelum itu, pada 2 Februari 2024, Lembaga Pengampunan memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Najib mula menjalani hukuman penjara pada Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Perkembangan terbaharu membabitkan pembayaran denda berkenaan sekali lagi memberi tumpuan kepada pendirian Loke, khususnya mengenai tarikh kuat kuasa peletakan jawatannya yang sebelum ini dikaitkan secara langsung dengan pembebasan Najib dari penjara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!