Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi pelihara keharmonian masyarakat

Muhammad Faisal
Muhammad Faisal
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah-sekolah bawah Kementerian Pendidikan (KPM) mampu menjadi kunci memastikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini dapat terus dipelihara.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, modul tersebut bertepatan dengan keperluan semasa dan masa hadapan negara untuk memupuk amalan kesederhanaan yang dianjurkan sebagai nilai hidup dalam kalangan generasi muda Muslim khususnya.

Bahkan menurutnya, hadis 40 yang dikumpulkan Imam Nawawi mencakupi penerapan nilai-nilai murni serta akhlak mulia berdasarkan sumber rujukan serta autoriti yang jelas daripada hadis-hadis yang sahih.

"Ini sekali gus dapat membasmi fahaman melampau dalam beragama daripada berleluasa di negara ini kerana ia tidak disandarkan pada apa-apa autoriti agama yang kukuh.

"ABIM menegaskan perkara tersebut tidak harus dipolemikkan kerana modul ini diterapkan dalam lingkungan pelajar beragama Islam sahaja.

"ABIM juga menggesa semua pihak berlapang dada serta menghormati inisiatif kerajaan khususnya dalam membawa pendidikan Islam yang sememangnya sejajar dengan nilai-nilai murni masyarakat kita," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam masa sama, beliau juga menegaskan, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam sebagai agama persekutuan tidak hanya bersifat ritual.

"Sebaliknya tafsiran kepada peruntukan perlembagaan tersebut adalah meluas mencakupi Islam sebagai agama dan cara hidup sempurna Muslim di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Kedudukan Perkara 3 ini sudah pun diperjelaskan melalui penghakiman-penghakiman di Mahkamah Persekutuan," katanya.

Baru-baru ini, KPM melancarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah lagi.

Modul tersebut akan mula dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), sebelum diedarkan ke sekolah-sekolah di bawah KPM tahun depan.

ARTIKEL BERKAITAN: Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi bantu bentuk akhlak pelajar

KPM lancar modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi

Terbit semula hadis 40 Imam Nawawi, pupuk kefahaman agama - PM