Al-Quran Al-Mubayyin perkaya panduan bacaan

SHAH ALAM – Usaha memahami kandungan al-Quran kini dipermudah menerusi penerbitan Al-Mubayyin yang menggabungkan terjemahan tematik, keterangan kalimah dan panduan bacaan dalam satu mushaf.
Mushaf bersaiz A5 terbitan terbaharu Karya Bestari itu menggabungkan elemen bacaan, pemahaman dan penghayatan menerusi terjemahan tematik yang disusun mengikut subtopik.
Eksekutif Pemasaran al-Quran tersebut, Muhamad Asyraf Jalaluddin berkata, penerbitan al-quran ini dihasilkan bagi memudahkan pembaca memahami kandungan, selain menjadikan aktiviti membaca lebih bermakna.

“Melalui al-Quran Al-Mubayyin, kita mahu pembaca bukan sahaja membaca ayat al-Quran, tetapi turut memahami maksud dan mesej yang disampaikan menerusi setiap ayat,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Menurut Muhammad Asyraf, menerusi tagline bukan sekadar membaca, tetapi memahami dan menghayati, mushaf berkenaan membolehkan pembaca mengenal pasti tema serta perbincangan yang terkandung dalam setiap ayat.
Selain terjemahan tematik, al-Quran Al-Mubayyin turut dilengkapi keterangan kalimah bagi membantu pembaca memahami makna perkataan terpilih dalam ayat al-Quran.
“Antara keistimewaannya ialah pembahagian terjemahan mengikut subtopik yang membantu pembaca mencari dan memahami sesuatu tema dengan lebih tersusun,” katanya.
Muhammad Asyraf memaklumkan, mushaf tersebut turut menyediakan panduan waqaf dan ibtida’ yang membimbing pembaca mengenal pasti tempat berhenti serta memulakan bacaan dengan betul.
Panduan tajwid berwarna turut disediakan bagi membantu pembaca mengenal pasti hukum tajwid menerusi penggunaan warna yang berbeza.
Tambah Muhammad Asyraf, al-quran tersebut mempunyai panduan Hamzah Wasal dan Nun Wiqayah serta indeks abjad tematik bagi membolehkan pembaca mencari topik tertentu dalam al-Quran dengan lebih mudah.
“Karya Bestari sememangnya membawa identiti sebagai penerbit al-Quran berinovasi dengan menghasilkan mushaf yang bukan sahaja menitikberatkan aspek kesahihan dan kualiti, malah memberi perhatian kepada kemudahan pembaca,” katanya.
Al-Quran Al-Mubayyin yang dijual pada harga asal RM48 ditawarkan dengan diskaun 15 peratus kepada bukan ahli, 20 peratus kepada ahli dan 30 peratus bagi pembelian 10 naskhah ke atas.

Jualan Gudang Akhir Tahun Karangkraf 2026 berlangsung di Kompleks Karangkraf, Shah Alam sehingga 9 November ini menawarkan pelbagai pilihan bahan bacaan dan penerbitan keluaran Karangkraf.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
