Anak bekas tukang kebun dinobat Graduan Keseluruhan Terbaik UCAM

Muhammad Aqil Aqmar bersama ibu dan bapanya yang mendorongnya untuk cemerlang dalam pelajaran. - Foto ROSLI TALIB
Muhammad Aqil Aqmar bersama ibu dan bapanya yang mendorongnya untuk cemerlang dalam pelajaran. - Foto ROSLI TALIB
A
A
A

SERDANG - Seramai 474 graduan pelbagai peringkat pengajian menerima sijil masing-masing pada Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) kali ke-18 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini semalam.

Penyampaian skrol kepada graduan ijazah sarjana, ijazah sarjana muda, diploma dan sijil itu disempurnakan Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Rosely Kusip dan penerima teramai membabitkan 353 graduan Program Pertanian dan Perladangan dari Fakulti Agrosains iaitu 74.5 peratus.

UCAM turut mencipta sejarah apabila pertama kali penganugerahan dilakukan membabitkan ijazah sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma bagi beberapa program seperti Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA), Sarjana Muda Sains Pertanian (BAS) dan Diploma Pembangunan Luar Bandar (DPLB).

Majlis itu turut dihadiri Ketua Pengarah Risda, Datuk Wan Ahmad Shabri Zainuddin Wan Mohamad; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Korporat) Risda, Abdullah Zainal@Deraman dan Ketua Eksekutif UCAM, Faizatul Akmar Hisan.

Rosely (duduk, enam dari kiri) bersama graduan cemerlang pada Majlis Konvokesyen UCAM kali ke-18 di UPM semalam. - Foto ROSLI TALIB
Rosely (duduk, enam dari kiri) bersama graduan cemerlang pada Majlis Konvokesyen UCAM kali ke-18 di UPM semalam. - Foto ROSLI TALIB

Rosely berkata, bermula pada tahun 1999, UCAM yang merupakan satu-satunya institut pengajian tinggi swasta (IPTS) milik Risda berteraskan pertanian sehingga kini melahirkan seramai 10,019 graduan dalam pelbagai bidang.

“Tahun ini, sebanyak 67 peratus penuntut UCAM dari luar bandar dengan pecahan 12 peratus adalah anak pekebun kecil dan selebihnya iaitu 33 peratus dari kawasan bandar.

Artikel Berkaitan:

“UCAM yang berperanan menjalankan aktiviti latihan pengurusan dan teknikal bukan hanya kepada pekebun kecil, malah turut berbakti kepada anak-anak golongan berkenaan.

“UCAM juga menepati sasaran nasional yang menetapkan sebanyak 80 peratus graduan harus mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan setelah tamat pengajian,” katanya.

Pada majlis konvokesyen itu, anak bekas tukang kebun dari Muar, Johor dinobatkan sebagai penerima Anugerah Graduan Keseluruhan Terbaik.

Muhammad Aqil Aqmar Md Ahad, 21, mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.82 bagi program Diploma Perniagaantani selain penerima Anugerah Naib Canselor dengan Kepujian Dekan dalam semua enam semester.

Rosely (kiri) menyampaikan anugerah Graduan Keseluruhan Terbaik kepada Muhammad Aqil Aqmar yang diiringi ibu bapanya ketika Majlis Konvokesyen UCAM ke-18 di Serdang semalam. - Foto ROSLI TALIB
Rosely (kiri) menyampaikan anugerah Graduan Keseluruhan Terbaik kepada Muhammad Aqil Aqmar yang diiringi ibu bapanya ketika Majlis Konvokesyen UCAM ke-18 di Serdang semalam. - Foto ROSLI TALIB

Kesusahan hidup yang dilaluinya anak kedua daripada empat beradik itu memberikan kekuatan kepadanya untuk belajar bersungguh-sungguh.

Menurutnya, dia juga nekad menebus kekecewaan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila hanya mendapat keputusan tahap sederhana.

Katanya, bapanya, Md Ahad Sadiman, 56, dan ibu, Masliza Mustaffa, 53, adalah kekuatan sebenar untuknya melakukan yang terbaik.