83 mangsa banjir dipindahkan di Kuala Selangor

Keadaan banjir yang melanda sebuah kampung di Kuala Selangor akibat hujan lebat semalam.
Keadaan banjir yang melanda sebuah kampung di Kuala Selangor akibat hujan lebat semalam.
A
A
A

IJOK - Seramai 83 mangsa banjir membabitkan 23 keluarga di tiga kampung dipindahkan di pusat pemindahan sementara Dewan Orang Ramai Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Desa Coalfields di sini sejak semalam.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Selangor, Kapten (PA) Shaiful Azril Zainal berkata, semua mangsa mula dipindahkan di pusat itu sejak jam 9 malam.

Menurutnya, tiga kampung yang terlibat ialah Kampung Merbau Indah, Kampung Sri Aman dan Kampung Sentosa.

"Seramai 37 penduduk yang dipindahkan membabitkan Kampung Merbau Indah manakala 27 penduduk Kampung Sri Aman dan 19 penduduk dari Kampung Sentosa," katanya.

Shaiful Azril berkata, daripada pecahan itu, seramai 20 lelaki dan wanita dewasa ditempatkan di pusat pemindahan terbabit.

"Selain itu seramai 18 kanak-kanak lelaki dan 15 kanak-kanak perempuan serta seorang bayi perempuan dipindahkan di pusat pemindahan terbabit," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan penduduk menyifatkan banjir kilat yang melanda tiga kampung itu dianggap terburuk dalam tempoh 40 tahun.

Kejadian jam 7.30 petang itu mengakibatkan kebanyakan rumah di tiga kampung terbabit digenangi air setinggi 0.3 meter hingga 0.75 meter.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Banjir kilat terburuk dalam tempoh 40 tahun